Gempa bumi 5.4 skala Richter gegar Laut Arab berhampiran Selatan Oman

Gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter menggegarkan Laut Arab pada Jumaat. Foto Anadolu Ajansi
Gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter menggegarkan Laut Arab pada Jumaat. Foto Anadolu Ajansi
A
A
A

ISTANBUL - Gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter menggegarkan Laut Arab pada Jumaat, kira-kira 198 kilometer (km) di barat daya Salalah, selatan Oman, menurut Tinjauan Geologi Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X, tinjauan itu memaklumkan gempa berkenaan direkodkan pada 3.01 petang waktu tempatan menerusi stesen Rangkaian Seismik Kebangsaan Arab Saudi.

Menurut kenyataan itu, pusat gempa terletak di Laut Arab, kira-kira 198 km di barat daya Salalah, ibu negeri Wilayah Dhofar, Oman.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan akibat gempa itu.

Menurut Pusat Pemantauan Gempa Bumi di Universiti Sultan Qaboos, Oman, aktiviti seismik di Laut Arab dikaitkan dengan Zon Rekahan Owen, iaitu sesar transformasi yang memisahkan plat tektonik Arab dan India, kawasan yang lazimnya mengalami gempa bumi sederhana.

Pusat itu turut memaklumkan aktiviti seismik di selatan Oman juga tertumpu berhampiran Teluk Aden berikutan kewujudan sistem sesar yang berkait dengan pembentukan teluk itu serta pergerakan plat tektonik. - Bernama-Anadolu

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!