Aulia bangkit selepas tragedi, pulih lebih cepat daripada jangkaan

KEPALA BATAS – Hampir sebulan selepas terselamat dalam nahas yang meragut enam nyawa termasuk kedua-dua ibu bapanya, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3 menunjukkan perkembangan kesihatan yang amat memberangsangkan apabila pulih lebih cepat daripada jangkaan doktor selain tabah menerima kehilangan insan tersayang.
Kanak-kanak itu yang merupakan satu-satunya mangsa terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton X50 dan lori tanah di Kampung Pinang Tunggal, Kedah pada 7 Jun lalu kini kembali aktif seperti biasa dan hanya perlu menjalani rawatan susulan.
Penjaganya yang juga ibu saudara, Siti Nur Atiqah Ahmad Shukri, 32 berkata, keadaan Aulia ketika ini jauh lebih baik berbanding jangkaan awal doktor selepas mengalami kecederaan serius dalam kemalangan berkenaan.

Menurutnya, doktor sendiri tidak dapat memberikan jangkaan tepat mengenai tempoh pemulihan kerana perkembangan kesihatan kanak-kanak itu berlaku dari hari ke hari.
“Pada mulanya kami pun fikir keadaannya mungkin tidak lama tetapi bila tengok keadaan dia hari ini, memang cepat sangat dia pulih. Sekarang dia sudah kembali aktif seperti biasa.
“Doktor sendiri pun tidak sangka dia boleh menunjukkan perkembangan seperti ini dalam tempoh kurang sebulan selepas kemalangan. Dia mula sedar dalam tempoh lebih dua minggu, memang cepat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bertam di sini pada Sabtu.
Aulia sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum dibenarkan pulang pada 2 Julai lalu.
Dalam kejadian tersebut, bapa Aulia yang merupakan anggota polis, Lans Koperal Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, maut bersama isterinya, Jamaliah Sannusi, 29 dan bayi mereka, Ahmad Mikail berusia dua bulan.
Turut terkorban ialah ibu Ahmad Shafiq, Nora Mohd Husin, 55, adiknya, Ahmad Fahim, 21 serta anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7.
Bercerita lanjut, Siti Nur Atiqah berkata, Aulia kini hanya perlu menjalani rawatan susulan iaitu pada 20 Julai untuk pemeriksaan pakar mata dan 26 Julai bagi pemeriksaan pakar ortopedik.
“Aulia mengalami patah kedua-dua belah kaki, cedera di bahagian kepala dan mata. Bagaimanapun, sekarang ini, dia tidak lagi mengambil sebarang ubat kecuali ubat titis mata.
“Buat masa ini, Aulia menerima rawatan di tiga buah hospital iaitu Hospital Kepala Batas, Hospital Seberang Jaya dan HSB,” katanya.
Menurutnya, Aulia juga tidak pernah mengadu sakit selepas sedar daripada koma.
“Bagi kami, dia seorang kanak-kanak yang sangat kuat daripada segi emosi dan fizikal. Walaupun dia masih kecil, dia mudah faham dengan apa yang telah berlaku.
“Sekarang dia tinggal dengan saya dan rapat dengan anak perempuan saya. Saya pun kini hanya mempunyai seorang anak selepas Iskandar Affan turut terkorban dalam kemalangan itu,” katanya.
Siti Nur Atiqah berkata, Aulia juga sudah mengetahui kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia dan mampu menerima kenyataan itu dengan baik.

“Dia memang ada tanya tentang ibu dan ayah, tetapi dia tidak merengek. Bila kami beritahu mereka sudah pergi ke syurga, dia boleh terima.
“Bagi saya dia budak yang sangat cerdik. Dia pandai jaga emosi kami dan emosi dia sendiri. Kadang-kadang dia tanya sambil bergurau sahaja, kemudian dia peluk saudara-mara.
“Hubungan dia dengan semua ahli keluarga, sama ada sebelah arwah bapa atau ibunya, semuanya baik,” katanya.
Tambahnya, jika terlalu merindui ibu bapanya, Aulia hanya akan mendiamkan diri, memejamkan mata dan menangis sendirian tanpa meragam.
“Dia tidak pernah buat perangai atau menyusahkan kami. Kalau dia sedih, dia akan diam dan menangis sendiri. Sebab itu bagi saya mudah untuk menjaganya,” katanya.
Kini, Aulia tinggal bersama Siti Nur Atiqah dan berada di bawah jagaan sepenuhnya.
Bagaimanapun, setiap hujung minggu mereka akan pulang ke rumah keluarga di Ara Kuda, Tasek Gelugor bagi menziarahi kediaman arwah ibu bapanya.
“Dia seorang sahaja yang terselamat dalam tragedi itu. Jadi setiap hujung minggu kami akan bawa dia pulang ke rumah ayah dan ibunya.
“Rumah itu memang tiada siapa yang tinggal kerana kesemua mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan itu tinggal di rumah berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Tuanku Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama Tuanku Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta anakanda Tunku Zara Bahiyah Tengku Sarafudin Badlishah berkenan menziarahi Aulia dan keluarganya.
Dalam kunjungan tersebut, baginda turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada keluarga yang menjaga Aulia selain membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi membantu menjamin masa depan pendidikannya.
Baginda turut berharap semua pihak terus memainkan peranan memastikan kebajikan dan pendidikan Aulia sentiasa terbela, di samping menyemarakkan semangat kerjasama masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

