Bendahari DAP Negeri Sembilan hadapi persaingan empat penjuru di DUN Rahang

SEREMBAN - Bendahari DAP Negeri Sembilan, Siaw Meow Keong akan berhadapan persaingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Meow Keong dipertaruhkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya pada PRN lepas.
Beliau akan bersaing dengan Ketua Wanita MCA Bahagian Rasah, Yap Siok Moy daripada Barisan Nasional (BN), S Thinagaran (Parti Sosialis Malaysia) dan Tang Jay San (Bersatu).
Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Najib Mustafa selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN Rahang di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Meow Keong menjadi calon ketiga menyerahkan borang pencalonan pada 9.12 pagi, selepas Thinagaran (9.06 pagi) dan Jay San (9.10 pagi) sebelum disusuli oleh Siok Moy pada 9.13 pagi.
Di kerusi DUN Bukit Kepayang pula, Ketua Wanita DAP Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon yang mempertahankan kerusi berkenaan berdepan saingan satu lawan satu menentang Lee Boon Shian daripada Perikatan Nasional (PN).
Kerusi DUN Labu, Mambau dan Seremban Jaya turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN kali ini.
Di DUN Labu, calon PH, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak dicabar oleh Mohamad Hanifah Abu Baker (Bersatu) dan Siti Nur Umaira Hasim (BN) manakala di DUN Mambau, calon PH, Lee Kai Yet berdepan cabaran N Sarawanan (Bersatu) dan Eric Michael (PN).
Bagi DUN Seremban Jaya, calon PH, S Mugunthan ditentang Datuk T R Thinalan (BN) dan R Mahendran (Bersatu) dalam saingan tiga penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai sebagai tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan manakala hari pengundian 1 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
