'DAP takkan tinggalkan PH, enggan terjerat perangkap seteru politik' - Anthony Loke

SHAH ALAM - DAP menegaskan tidak akan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum berakhirnya penggal kerajaan semasa.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pihaknya tidak fikir DAP mampu pergi jauh jika bergerak secara bersendirian dalam landskap politik negara.
Ahli Parlimen Seremban itu berpendapat bahawa bergerak solo memang dilihat 'mudah', namun parti hanya mampu memainkan peranan sebagai pembangkang.
"Saya tak fikir DAP boleh pergi jauh kalau bergerak sendiri. Kita tak boleh menjadi sebahagian daripada proses pembinaan negara mahupun terlibat dalam urus tadbir.
“Jika kita benar-benar mahu membawa perubahan dalam kerajaan dan masyarakat, kita mesti berada dalam kedudukan yang mempunyai kuasa.
"Jadi, saya percaya kepada politik gabungan,” katanya menerusi wawancara bersama media antarabangsa, Channel News Asia (CNA) di pejabatnya di Parlimen pada Isnin lalu.
Beliau mengulangi pendirian itu susulan prestasi mengecewakan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai lepas, selain persediaan menjelang PRN Negeri Sembilan (1 Ogos) serta Kongres Khas DAP (16 Ogos).
Menteri Pengangkutan itu menambah, tindakan menarik diri daripada PH hanya akan menyebabkan pihaknya terperangkap dengan strategi lawan politik yang sememangnya tidak mahu DAP berada dalam kerajaan.
Dengan memiliki 40 kerusi Parlimen, DAP merupakan parti penyumbang jumlah kerusi terbesar kepada PH yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar serta Parti Amanah Negara (Amanah).
Di peringkat Persekutuan, Kerajaan Perpaduan turut disertai Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain.
Bagaimanapun, PH dan BN masih menjadi pesaing di peringkat negeri misalnya Johor yang menyaksikan pemimpin kedua-dua gabungan saling berbalas kenyataan secara terbuka.
Bagi PRN Negeri Sembilan, PH mengumumkan bakal bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN pula memaklumkan bertanding di 25 kerusi, manakala baki 11 kerusi diperuntukkan kepada parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
