[VIDEO] Bersatu bentuk gabungan baharu lebih hebat selepas PRN Negeri Sembilan - Muhyiddin
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membentuk sebuah gabungan baharu yang lebih hebat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).
"Saya nak berikan gambaran bahawa selepas PRN Negeri Sembilan ini, Bersatu tidak berseorangan lagi.
"Insya-ALLAH kita akan bentuk satu gabungan yang hebat selepas pilihan raya ini.
"Sebagaimana yang saya sebutkan sewaktu saya menubuhkan Perikatan Nasional dulu, banyak pemimpin datang yang datang dan antaranya Presiden Parti Urimai, Prof Dr P Ramasamy yang telah nyatakan kesediaan untuk bersama-sama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan pada Jumaat.

Menurutnya, mereka telah pun duduk berbincang tentang apakah konsep kerjasama yang boleh dibentuk dalam tempoh kurang setahun.
Jelas beliau, ini bagi membolehkan mereka lebih bersedia dengan kekuatan yang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Sementara itu ditanya pemberita samada gabungan yang bakal terbentuk mempunyai konsep yang berbeza dengan Perikatan Nasional(PN), Muhyiddin berkata, masih terlalu awal untuk beliau bercerita lanjut, namun ada strategi tertentu yang akan digunakan.
"Kita tidak boleh ikut cara tradisional dan ini adalah pertimbangan yang kita ambil kira dari sudut kepentingan rakyat kerana ada sentimen tertentu memerlukan kita membentuk suatu gabungan yang lebih progresif, bukan konservatif.
"Selain itu gabungan yang dapat menonjolkan sentimen orang muda, wanita dan segala-galanya ini kita ambil kira bila kita selesai rundingkan dengan pihak-pihak yang saya sebutkan tadi," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan berkongsi lanjut berapa ramai parti yang datang berjumpa dengan Bersatu, tetapi sebahagian besar menyatakan minat untuk bersama.
"Waktu kita bentuk IPR dulu, tak silap saya sudah ada 12 parti termasuk Parti Orang Asli Malaysia. Jadi hampir sebahagian besar menyatakan minat mereka.
"Tapi saya tak payah ceritakan dulu ini kerana ia belum selesai, nanti sebaik sahaja selesai runding, kita akan maklumkan," katanya.
Namun jelas beliau, buat masa ini Bersatu masih dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

