Pesona Taman Eko Rimba Balok Pine

KUANTAN – Negeri Pahang sememangnya terkenal dengan khazanah alam semula jadi yang pelbagai, daripada hutan hujan tropika, tanah tinggi dan gunung-ganang, sungai hinggalah gugusan pulau serta pantainya yang mempesonakan.
Di sebalik destinasi pelancongan popular sedia ada, tersimpan sebuah lagi permata rekreasi (hidden gem) yang semakin mendapat perhatian ramai iaitu Taman Eko Rimba Balok Pine di sini.
Terletak di kawasan perkampungan Balok Pine, Balok, destinasi rekreasi ini menjadi tumpuan kerana landskapnya yang unik dengan deretan pokok rhu (Casuarina equisetifolia) yang menyerupai hutan pain.
Terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Kuantan, kawasan rekreasi ini menawarkan suasana nyaman dengan deretan pokok rhu yang menghijau, sekali gus memberikan pengalaman seolah-olah berada di sebuah hutan pain di negara beriklim sederhana.
Lokasinya di tepi jalan masuk ke kawasan perumahan Balok Pine memudahkan pengunjung mengakses taman ini sama ada melalui Jalan Kuantan-Kemaman atau Jalan Pintasan Kuantan.

Keunikan pemandangannya menjadikan taman eko rimba berskala kecil ini semakin popular dalam kalangan masyarakat setempat dan pengunjung sekitar Kuantan selepas keindahannya tular di pelbagai platform media sosial.
Keindahan kawasan ini lebih terserlah apabila cahaya matahari menembusi celahan pokok rhu, menghasilkan panorama yang memukau terutama pada waktu pagi dan lewat petang.
Suasana yang tenang dan mendamaikan turut menarik ramai pengunjung untuk bersiar-siar, beriadah serta bergambar.
Lengkap pelbagai kemudahan
Selain menikmati keindahan alam semula jadi, persekitarannya yang bersih, teduh dan terjaga menjadikan lokasi ini sesuai untuk pelbagai aktiviti riadah.
Taman ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti trek joging, tapak parkir, gazebo dan peralatan kecergasan luar bagi menambah keselesaan pengunjung.
Setiap sudut taman ini mempunyai daya tarikan tersendiri. Barisan pokok rhu yang tersusun rapi mencipta latar belakang semula jadi yang indah sehingga sering menjadi lokasi pilihan bagi sesi fotografi perkahwinan, potret keluarga dan penghasilan kandungan media sosial.

Lokasinya yang strategik turut membolehkan pengunjung menggabungkan lawatan ke beberapa destinasi menarik berhampiran seperti Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam.
Kemudahan jalan raya yang baik serta akses yang mudah menjadikan lokasi itu sesuai dikunjungi pada hujung minggu untuk beriadah selain mesra warga emas.
Rata-rata pengunjung yang ditemui mengakui Taman Eko Rimba Balok Pine mempunyai daya tarikan tersendiri walaupun kawasannya jauh lebih kecil berbanding taman eko rimba lain.
Bagi pesara, Hamdan Mohd Sidek, 71, kawasan itu dahulunya hanya dikunjungi penduduk setempat dan masyarakat sekitar untuk beriadah serta menikmati suasana pantai yang tenang.
Menurutnya, selepas Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) melaksanakan kerja naik taraf dengan menyediakan pelbagai kemudahan, Taman Eko Rimba Balok Pine semakin dikenali serta menjadi tumpuan pelawat dari luar kawasan, khususnya pada hujung minggu.
“Taman ini terletak berhampiran kawasan perumahan, jadi ia sangat bermanfaat kepada penduduk terutama golongan warga emas seperti saya untuk beriadah.
“Sekarang ini semakin ramai pengunjung datang terutama pada hujung minggu untuk bersantai,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Rosli Ibrahim, 65, dari Balok, merupakan antara pengunjung tetap taman itu terutama pada hujung minggu.
Menurutnya, selain suasananya yang indah dan menenangkan, kawasan rekreasi itu kini dilengkapi pelbagai kemudahan serta sentiasa diselenggarakan dengan baik.
“Kawasannya tidak begitu luas, namun indah dan mendamaikan, sekali gus amat sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga.
“Tak perlu pergi jauh-jauh lagi. Semuanya ada di sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

