IRC 2026 perkukuh hala tuju kawal selia digital

Persidangan Pengawalseliaan Antarabangsa atau International Regulatory Conference (IRC) 2026 bakal menghimpunkan badan pengawal selia, penggubal dasar, peneraju industri serta pakar dari dalam dan luar negara bagi membincangkan hala tuju tadbir urus Malaysia dalam fasa perkembangan digital seterusnya.
Persidangan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertemakan Membentuk Era Digital Seterusnya: Kawal Selia, Daya Tahan dan Kepercayaan atau Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust akan berlangsung di Hotel Shangri-La, dI Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Julai ini.
IRC 2026 akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurut MCMC, penganjuran IRC 2026 memberi tumpuan kepada perkembangan ekonomi digital serta cabaran kawal selia dalam sektor komunikasi dan multimedia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam perbincangan dasar telekomunikasi di peringkat antarabangsa.
“Persidangan berkenaan turut menjadi platform untuk memperkasakan peranan MCMC dalam membentuk wacana kawal selia global, selain memperkukuh kerjasama antara badan pengawal selia, pembuat dasar dan pemain industri.
“Antara fokus utama yang akan dibincangkan ialah hubungan antara teknologi dan kawal selia, tadbir urus media sosial, perlindungan privasi data, moderasi kandungan serta pembentukan rangka kerja tadbir urus digital yang lebih mampan,” kata MCMC yang dipetik dari laman sesawangnya.
IRC 2026 juga akan mengetengahkan perbincangan mengenai Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, kesejahteraan digital, keselamatan siber dan kerjasama kawal selia antarabangsa dalam mendepani cabaran era digital.

Barisan penceramah terdiri daripada Pesuruhjaya MCMC, Derek John Fernandez; Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Farah Nini Dusuki; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke; Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Sulyna Abdullah serta Penolong Ketua Eksekutif Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA), Aileen Chia.
Sementara itu, pada hari pertama, IRC 2026 akan mengadakan Agenda Digital Horizons: Safeguarding, Empowering and Thriving in the Connected Age manakala pada hari kedua pula ialah Innovation, Sustainability and Future Ready melibatkan beberapa sesi dialog dan menampilkan beberapa ilmuwan tempatan dan antarabangsa.
Ia juga turut melibatkan Ketua Keselamatan Ericsson, Dr Connie Mcintosh, Timbalan Pengarah, MOH Malaysia, Dr Vivek Jason Jayaraj, Head of Enterprise Innovation Platform UMobile, Junaida Abdullah, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Sufi an Jusoh dan ramai lagi.
Selain itu, pakar-pakar antarabangsa dijangka berkongsi pandangan mengenai teknologi pesat membangun, tadbir urus platform digital dan pembentukan ekosistem digital yang lebih selamat, berdaya tahan serta diyakini.
Menurut MCMC, persidangan itu bertujuan mencari titik keseimbangan antara pemacuan inovasi, pertumbuhan ekonomi digital dan perlindungan hak pengguna dalam landskap digital yang semakin kompleks.
IRC 2026 juga diharapkan mampu menyokong aspirasi Malaysia membangunkan ekosistem ekonomi digital yang diyakini, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
