Remaja perempuan Rohingya buang janin dari tingkap hotel

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang remaja perempuan Rohingya membuang bungkusan plastik hitam dari tingkap sebuah bilik hotel di Bukit Indah, di sini membawa kepada penemuan janin bayi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, hasil siasatan mendapati janin yang ditemukan di dalam plastik berhampiran Taman Nusa Idaman pada 5 Julai lalu merupakan anak kepada suspek berusia 19 tahun itu.
Menurutnya, bayi berkenaan dilahirkan hasil hubungan suspek dengan bekas teman lelakinya.
"Siasatan mendapati suspek telah melahirkan bayi tersebut di dalam tandas bilik hotel berdekatan sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik warna hitam.
"Remaja itu kemudian membuangnya melalui tingkap bilik di tingkat dua hotel ke lorong di bawah bangunan hotel iaitu lokasi bayi itu ditemukan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, sebelum itu polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi berkenaan pada jam 2.39 pagi, 5 Julai lalu.
Susulan itu katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi penemuan bayi serta remaja terbabit di sebuah hotel di kawasan Bukit Indah kira-kira jam 4 pagi hari yang sama.
"Kedua-dua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan air kencing. Semakan rekod jenayah pula mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala suspek remaja tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.
Kumarasan berkata, hasil siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor yang mengarahkan remaja perempuan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Suspek lelaki pula dijadikan sebagai saksi pendakwaan," katanya.
Beliau berkata, remaja berkenaan akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru pada Jumaat.
Menurutnya, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi dan tidak terjebak dengan perlakuan jenayah serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

