Pasangan kekasih ditahan, buang mayat bayi dalam tandas TBS

Kedua-dua suspek ditahan di Sepang. - Gambar hiasan
Kedua-dua suspek ditahan di Sepang. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi lelaki di dalam sebuah tandas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini pada Selasa lalu

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How berkata, kedua-dua suspek berusia 21 tahun itu ditahan di Sepang oleh sepasukan anggota serta pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

"Sebelum ini, kita menerima maklumat daripada pengurusan TBS berhubung penemuan seorang bayi baharu lahir yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah beg plastik berwarna biru di tandas wanita di Aras 3 terminal berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja mengaku terlibat dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Chun How berkata, siasatan mendapati suspek wanita dipercayai melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas sebelum membuangnya ke dalam tong sampah kerana takut dimarahi keluarga.

"Pasangan terbabit kini direman selama empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasataan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!