Trump bakal buat kemunculan sulung di final Piala Dunia, serah trofi kepada juara

Trump dijadual membuat penampilan sulung pada Piala Dunia apabila menghadiri perlawanan akhir Ahad ini.
Trump dijadual membuat penampilan sulung pada Piala Dunia apabila menghadiri perlawanan akhir Ahad ini.
A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijadual membuat penampilan sulung pada Piala Dunia apabila menghadiri perlawanan akhir Ahad ini yang menemukan Argentina diketuai Lionel Messi dan Sepanyol yang dibarisi bintang muda Lamine Yamal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Selain campur tangannya dalam kontroversi kad merah membabitkan penyerang AS Folarin Balogun, Trump tidak banyak terlibat sepanjang kejohanan yang berlangsung di AS, Kanada dan Mexico serta belum menghadiri sebarang perlawanan setakat ini.

Kebimbangan bahawa Piala Dunia akan dibayangi Trump juga tidak menjadi kenyataan.

Namun, pada aksi final antara Sepanyol dan Argentina di East Rutherford, New Jersey pada Ahad, kehadiran antara individu paling berkuasa di dunia itu tidak dapat dielakkan.

Trump bukan sekadar akan berdiri bersama Presiden FIFA Gianni Infantino serta berjabat tangan dan mengucapkan tahniah kepada pasukan juara bersama wakil-wakil bola sepak dunia seperti kelaziman sebelum ini.

Sebulan selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-80, Trump dijadual menyampaikan trofi emas kepada kapten pasukan juara, sama ada kapten Argentina Lionel Messi atau kapten Sepanyol Rodri, menurut Infantino.

Infantino sebelum ini mewujudkan Anugerah Keamanan FIFA untuk Trump dan, dalam majlis undian Piala Dunia, menyerahkan trofi emas serta pingat kepada ahli politik itu, yang kemudian menyarungkan sendiri pingat tersebut ke lehernya.

"Ini merupakan antara penghormatan terbesar dalam hidup saya," kata Trump ketika itu.

Sebuah replika trofi Piala Dunia kini dipamerkan di Rumah Putih, manakala trofi asal Piala Dunia Kelab turut berada di situ.

Artikel Berkaitan:

Trump berkata apabila beliau bertanya kepada FIFA bila badan itu akan mengambil semula trofi yang dipamerkan di Pejabat Oval selepas kejohanan musim panas lalu, beliau dimaklumkan: "Anda boleh menyimpannya selama-lamanya. Kami akan membuat yang baharu."

Panggilan telefon Trump kepada Infantino yang mencadangkan agar kad merah terhadap Balogun dikaji semula menjadi kontroversi terbesar sepanjang Piala Dunia kali ini, walaupun Trump dan Infantino menegaskan Presiden FIFA itu tidak terlibat dalam keputusan membatalkan penggantungan pemain berkenaan.

Ini bukan kali pertama Trump menyampaikan trofi FIFA.

Setahun lalu, beliau turut hadir di stadium NFL yang menjadi gelanggang bersama New York Giants dan New York Jets untuk menyaksikan final Piala Dunia Kelab antara Paris Saint-Germain dan Chelsea sebelum menyampaikan trofi kepada kapten Chelsea, Reece James.

Presiden itu kemudian terus berada di pentas penyampaian hadiah meskipun bertentangan dengan protokol. Ketika memegang trofi, Reece dilihat memandang Trump seketika sebelum mengangkat trofi itu sebagai tanda meraikan kemenangan, manakala Trump terus berdiri bersama pemain Chelsea.

Justeru, tidak mustahil juara dunia yang baharu juga perlu berkongsi gambar rasmi kemenangan pertama mereka bersama Presiden AS itu.

Dalam perkembangan berkaitan, penyokong turut melahirkan rasa kurang senang terhadap pengumuman FIFA bahawa penyanyi Jennifer Hudson akan menyampaikan lagu kebangsaan AS secara langsung sebelum sepak mula.

Pada saingan Super Bowl, acara itu merupakan detik penuh emosi dan menjadi tradisi dalam sukan Amerika, selain turut diamalkan sebelum perlawanan NBA.

Bagaimanapun, pada Piala Dunia FIFA, lagu kebangsaan negara tuan rumah lazimnya tidak menjadi sebahagian daripada upacara rasmi.

Keadaan itu sedikit berbeza di AS apabila lagu kebangsaan dimainkan melalui sistem pembesar suara kira-kira sejam sebelum sepak mula, namun tidak banyak mendapat perhatian kecuali ketika perlawanan membabitkan AS atau pada sambutan Hari Kemerdekaan negara itu pada 4 Julai.

Kali ini, Hudson dijadual mempersembahkan lagu kebangsaan itu secara langsung sebelum sepak mula di Stadium New York-New Jersey, manakala Trump dijangka berdiri di tempat duduk penonton sambil memberi tabik hormat.

Pemandangan itu sudah biasa bagi peminat sukan Amerika, termasuk ketika Super Bowl di New Orleans yang dihadiri Trump setahun setengah lalu sebagai presiden AS pertama yang sedang memegang jawatan berbuat demikian.

Ia juga mengimbau kehadiran beliau pada Perlawanan Ketiga Final NBA antara San Antonio Spurs dan New York Knicks di Madison Square Garden, yang kebetulan merupakan satu-satunya perlawanan yang tewas oleh Knicks sebelum muncul juara.

Apa yang lazimnya menjadi detik perpaduan dalam acara sukan bertukar menjadi gambaran jelas perpecahan politik di AS.

Setiap kali wajah Trump dipaparkan pada skrin gergasi stadium, beliau menerima sorakan ejekan yang sekurang-kurangnya sama banyak dengan sorakan sokongan. Trump juga dijangka tidak akan menerima sambutan mesra daripada penyokong Sepanyol dan Argentina. - Bernama - dpa

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!