Lima minit musnahkan impian England

Lautaro Martinez (kiri) menanduk masuk gol kemenangan Argentina pada masa kecederaan untuk memusnahkan impian mara ke final. - Foto: Agensi
Lautaro Martinez (kiri) menanduk masuk gol kemenangan Argentina pada masa kecederaan untuk memusnahkan impian mara ke final. - Foto: Agensi
A
A
A

ENGLAND hanya berbaki lima minit untuk melangkah ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966 sebelum segala-galanya musnah apabila Argentina meledak dua gol lewat permainan untuk menang 2-1 di Atlanta.

The Three Lions yang beraksi penuh disiplin hampir mencipta sejarah selepas Anthony Gordon meletakkan mereka di depan pada minit ke-55 hasil hantaran Morgan Rogers.

Selepas mendahului, anak buah Thomas Tuchel memilih untuk bertahan bagi menyerap asakan bertali arus Argentina yang terus menguasai penguasaan bola dan mengurung England di kawasan sendiri.

Benteng pertahanan England akhirnya runtuh pada minit ke-85 apabila Enzo Fernandez melepaskan rembatan deras menewaskan Jordan Pickford untuk menghidupkan semula harapan Argentina.

Lebih memeritkan, ketika England mula bersedia menghadapi masa tambahan, Lionel Messi menghasilkan satu lagi detik magis apabila mencipta bantuan gol kepada Lautaro Martinez yang meledak jaringan kemenangan dalam masa kecederaan.

Tuchel cuba mengubah keadaan dengan memasukkan Ivan Toney dan mengarahkan Dan Burn membantu jentera serangan, namun segala usaha itu gagal menghalang England daripada tersingkir.

Kekalahan dramatik itu bukan sahaja memadam impian England untuk kembali ke pentas final selepas enam dekad, malah memaksa mereka beraksi dalam penentuan tempat ketiga menentang Perancis.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!