SPRM bentang 8 cadangan tambah baik tatakelola NIOSH

BANGI - Lapan cadangan penambahbaikan tatakelola strategik dibentang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Pembentangan melalui Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) itu merupakan langkah proaktif dalam memfokuskan kepada pengurusan program lawatan kerja luar negara untuk memperkukuh aspek tadbir urus, ketelusan dan integriti menerusi sistem kawalan dalaman.
SPRM dalam kenyataan berkata, syor-syor kritikal yang dicadangkan oleh SPRM merangkumi penetapan had kuasa melulus dan pewujudan Surat Kuasa (LOA) yang jelas serta pematuhan mandatori kelulusan bertulis Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSU KESUMA) selaras Arahan KSU Bilangan 1/2024.
"Selain itu, syor penambahbaikan turut melibatkan penyeragaman format kertas kerja, pengauditan semula oleh Unit Audit Dalaman ke atas lawatan terdahulu serta semakan dasar pembiayaan aktiviti Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA).
"Syor itu juga merangkumi pematuhan penyediaan Laporan Keberhasilan Lawatan dalam tempoh 14 hari, penambahbaikan pengurusan konflik kepentingan serta pemantapan klausa pematuhan dalam prosedur sedia ada," katanya dalam kenyataan.
Cadangan penambahbaikan itu dibincangkan secara imperatif semasa Sesi Khidmat Nasihat Terhadap Amalan, Sistem dan Tatakelola di Ibu Pejabat NIOSH di sini pada Khamis.
Majlis itu turut menyaksikan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh dan Timbalan Pengarah BPT SPRM, Norazlina Abd Rahim.
Sementara itu, NIOSH amat mengalu-alukan cadangan khidmat nasihat daripada SPRM.
NIOSH juga menyatakan komitmen penuh untuk melaksanakan langkah penambahbaikan serta memperkukuh sistem kawalan dalaman dan tadbir urus berintegriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
