Pemimpin MCA persoal dakwaan kerjasama UMNO-Pas dalam PRN Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR - Seorang pemimpin MCA, Saw Yee Fung mempersoalkan dakwaan wujudnya persefahaman antara UMNO dan Pas dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, sambil meminta penjelasan mengenai pendirian parti itu terhadap sebarang bentuk kerjasama dengan parti berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Yee Fung berkata, beliau berasa keliru selepas pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini menegaskan bahawa gabungan itu tidak bekerjasama dengan Pas, namun kenyataan berbeza didakwa dibuat semasa kempen di Negeri Sembilan.
"Dalam Johor seminggu lalu, saya berkali-kali memberitahu pengundi bahawa kami tidak bekerjasama dengan Pas dan untuk menyekat 'gelombang hijau', mereka perlu mengundi Barisan Nasional," katanya.
Menurut beliau, pemimpin BN kemudiannya mengumumkan di pentas ceramah calon bahawa terdapat persefahaman dengan "rakan-rakan", manakala pemimpin Pas pula mengesahkan wujudnya kerjasama antara UMNO dan Pas.
Sehubungan itu, Yee Fung mempersoalkan sama ada sebarang persefahaman tersebut telah dipersetujui oleh MCA termasuk barisan kepimpinan tertinggi parti.
Dalam masa sama, beliau membangkitkan persoalan mengenai prinsip perjuangan parti, khususnya berkaitan sekularisme dan demokrasi yang menurutnya telah lama diperjuangkan.
"Apa garis merah yang ada? Apa prinsip yang masih dipertahankan?" soal beliau dalam hantaran itu.
Yee Fung berkata, beliau sukar menerima pendekatan politik yang dilihat mengutamakan kemenangan pilihan raya atau kedudukan politik semata-mata.
"Maaf, saya mempunyai idealisme politik tersendiri dan saya tidak dapat bersetuju dengan perkara ini," katanya.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kepimpinan MCA atau BN berhubung persoalan yang dibangkitkan dalam hantaran tersebut. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
