Tapir cedera diselamatkan selepas video tular

KUANTAN – Video tular memaparkan seekor Tapir Malaya cedera berjalan terhincut-hincut di kawasan Taman Bukit Rangin Perdana di sini membawa kepada operasi menyelamat haiwan liar dilindungi itu.
Operasi pengesanan dan pemantauan dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang sebaik menerima maklumat mengenai video yang tular di platform media sosial.
Pengarah Jabatan Perhilitan Pahang, Yusoff Shariff berkata, pihaknya memasang perangkap pada 12 Julai lalu sebelum tapir jantan dewasa anggaran berumur lima tahun dengan berat 245 kilogram itu berjaya ditangkap hari berikutnya.
Menurutnya, haiwan liar dilindungi itu telah dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar di Sungkai, Perak untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan.
"Hasil siasatan kita disyaki ada lagi tapir di kawasan berkenaan berdasarkan kesan tapak.
"Berikutan itu perangkap masih diaktifkan di kawasan berkenaan (Bukit Rangin)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini, seorang pengguna Threads berkongsi video selepas terserempak dengan haiwan liar dilindungi itu ketika dalam perjalanan ke satu acara larian.
Menerusi beberapa hantaran, individu berkenaan memaklumkan telah menghubungi beberapa agensi bagi mendapatkan bantuan sebelum dimaklumkan kes melibatkan tapir berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perhilitan.
"Saya dah call Bomba dan JPAM, both tolak kes tapir ni sebab kata mereka tapir ini kes bawah Jbtn Perhilitan. Bomba beritahu kalau tapir halang jalan orang awam baru mereka akan bantu," ujarnya melalui salah satu hantaran," ujarnya.
Susulan itu, dia menggesa pengguna media sosial membantu menularkan hantaran berkenaan bagi mempercepatkan tindakan pihak berkuasa.
Menerusi hantaran berikutnya, individu terbabit memaklumkan pegawai Perhilitan telah menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lokasi penemuan tapir itu sebelum operasi pengesanan dijalankan.
Dalam perkembangan terbaharu, pengguna Threads berkenaan berkongsi berita gembira apabila memaklumkan tapir tersebut berjaya ditemui dan diselamatkan selepas tiga hari operasi dijalankan.
Sementara itu, pihak Perhilitan menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau mengganggu hidupan liar sekiranya terserempak.
Sebaliknya, orang awam diminta segera membuat laporan kepada jabatan itu melalui talian 1800-88-5151 (9 pagi hingga 6 petang) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

