Beruang sesat jadi tetamu tak diundang, selamba selongkar peti sejuk

SHIZUKUISHI – Seekor beruang memecah masuk sebuah rumah warga emas di timur laut Jepun dan membuka peti sejuk untuk mencari makanan
Mitsuo Matsubara, 87, di Shizukuishi, wilayah Iwate berkata, dia terkejut apabila melihat kelibat mamalia itu selepas terdengar bunyi bising. Isterinya bertindak segera menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk menangkap beruang berkenaan.
Tetapi, haiwan itu meninggalkan rumah tersebut melalui pintu belakang selepas mengambil makanan yang ditemui bertaburan di atas lantai.
Ia merupakan kejadian gangguan terbaharu melibatkan haiwan spesies tersebut yang 'semakin bermaharajalela' hingga mencetuskan kebimbangan terhadap komuniti setempat.
Dalam insiden berasingan di bandar sama, seekor beruang kelaparan menjadi tetamu tidak diundang di kediaman milik Mitsuo Yamamoto, 70.
Bagaimanapun, tiada individu dilaporkan cedera.
Beberapa siri penampakan beruang dilaporkan kerap berlaku kebelakangan ini di beberapa kawasan di Jepun, berikutan cuaca panas berterusan yang dipercayai menyebabkan haiwan itu semakin aktif mencari makanan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

