Parasit penyebab diarea teruk landa Amerika Syarikat, ribuan jatuh sakit

Parasit yang dikesan dalam sampel makanan. Foto Agensi
Parasit yang dikesan dalam sampel makanan. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Parasit yang menyebabkan cirit-birit teruk kini telah menjangkiti ribuan orang di 34 negeri di Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa kesihatan persekutuan, lapor agensi berita Jerman dpa.

Lebih 1,600 kes siklosporiasis yang disahkan direkodkan, manakala 5,100 lagi kes yang disyaki sedang disiasat, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS di Washington lewat Selasa.

Berikutan penyakit itu sering tidak didiagnosis atau tidak dilaporkan, bilangan sebenar jangkitan mungkin jauh lebih tinggi.

Agensi berkenaan sedang menyiasat sama ada rangkaian makanan segera Taco Bell berkemungkinan memainkan peranan dalam wabak itu, lapor Washington Post. Taco Bell mengeluarkan daun salad dan beberapa bahan lain daripada menu di sesetengah lokasi minggu lepas.

Michigan muncul sebagai pusat wabak, dengan lebih 3,300 kes disahkan dan berkemungkinan dilaporkan, kata pegawai kesihatan negeri. 

Berdasarkan bukti semasa, daun salad yang tercemar dengan parasit mungkin menjadi punca wabak itu, kata pihak berkuasa kesihatan di negeri tersebut.

Menurut CDC, parasit secara amnya disebarkan melalui makanan atau air yang tercemar dengan najis dan bukannya dari manusia ke manusia.

Ia menjangkiti usus kecil dan menyebabkan diarea berair dengan pembuangan air besar yang kerap dan kadangkala memancut. Wabak siklosporiasis biasanya berlaku pada bulan-bulan musim panas.- Bernama-dpa

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!