Selesai dahulu isu pengkhianatan sebelum bincang kerjasama - Pas Perlis

Ahmad Ali
Ahmad Ali
A
A
A

KANGAR – Pas Perlis tidak akan menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini menyertai Parti Wawasan selagi isu yang didakwa melibatkan pengkhianatan terhadap parti itu belum diselesaikan.

Pesuruhjayanya, Ahmad Ali berkata, pendirian tersebut dibuat bagi mempertahankan prinsip amanah dan integriti dalam kerjasama politik, selain memelihara keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti.

Menurutnya, mereka berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam yang menekankan amanah, kejujuran dan kesetiaan dalam setiap bentuk kerjasama politik.

"Pas Perlis tidak akan menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan individu-individu yang berasal daripada Bersatu yang terlibat dengan pengkhianatan terhadap Pas, kemudian keluar daripada Bersatu dan kini menyertai Parti Wawasan, selagi isu pengkhianatan tersebut belum diselesaikan oleh pihak Bersatu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, setiap perjanjian yang dimeterai antara parti-parti dalam gabungan perlu dihormati dan dipatuhi kerana pelanggaran terhadap perjanjian itu mencerminkan satu bentuk pengkhianatan yang boleh menjejaskan keharmonian kerjasama politik.

Jelasnya, sebarang isu yang melibatkan pengkhianatan terhadap perjuangan parti perlu ditangani secara bertanggungjawab dan tidak boleh dipandang ringan.

Ahmad turut berpandangan Bersatu perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti sebagai dalang kepada pengkhianatan berkenaan sekiranya terdapat asas serta melalui proses yang sewajarnya.

"Selagi tiada penyelesaian atau tindakan yang jelas terhadap perkara tersebut, Pas Perlis berpendirian bahawa kerjasama politik dengan kumpulan berkenaan tidak wajar dipertimbangkan," ujarnya.

Menurut beliau, pendirian itu bukan sahaja bagi mempertahankan prinsip amanah, malah untuk memastikan setiap kerjasama politik dibina atas asas kepercayaan, saling menghormati dan keikhlasan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad menegaskan Pas Perlis berusaha memperkukuh kesatuan bersama rakan-rakan gabungan yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agenda agama, bangsa dan negara.

Katanya, parti itu akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan Islam serta membuat setiap keputusan politik berdasarkan maslahah, keadilan dan kepentingan rakyat.

Pergolakan politik di Perlis bermula apabila bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik mengantikannya pada Disember tahun lalu.

Selepas itu, politik negeri terus bergolak termasuk timbul dakwaan Abu Bakar bakal berdepan usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun sehingga kini Abu Bakar kekal menerajui pentadbiran negeri selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!