Belenggu PKP Fasa 3

A
A
A

PERDANA Menteri telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan akan disambung ke fasa 3 (PKP3) bermula 15 April hingga 28 April 2020. Kita menyambut baik PKP3 ini memandangkan statistik kes jangkitan koronavirus (Covid-19) belum menunjukkan penurunan yang memberangsangkan, walaupun ada tanda-tanda positif dalam pengawalannya.

Namun, arahan PKP membuatkan rakyat terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menjadi tidak keruan dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan mengenai sektor yang perlu mendapat kelulusan untuk beroperasi.

Ada yang keliru sama ada mereka perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi.

Itu belum lagi mengenai isu beberapa sektor yang tidak penting tetapi dibenarkan oleh MITI untuk beroperasi seperti kedai gunting rambut, kedai perkakasan dan firma guaman. Tidak diketahui apa logik di sebalik kebenaran yang diberikan tetapi majoriti rakyat tidak bersetuju dengan kebenaran itu.

Malah, Persatuan Pendandan Rambut juga tidak bersetuju agar kerajaan membenarkan kedai gunting rambut dibuka sepanjang tempoh PKP3 dan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula kebenaran tersebut.

Majlis Peguam sendiri turut terkeliru dengan arahan MITI mengenai kebenaran untuk firma guaman beroperasi. Mereka masih cuba mendapatkan penjelasan rasmi daripada MITI kerana Menteri Undang-undang sendiri kurang pasti mengenai arahan pembukaan firma guaman.

Tambahan, dalam kalangan peguam juga tidak bersetuju dengan kebenaran untuk firma guaman kembali beroperasi dalam tempoh PKP3 kerana risikonya adalah terlalu tinggi.

Jika firma guaman dibuka sekalipun, masih tiada guna kerana mahkamah masih tidak beroperasi sepenuhnya, pejabat tanah dan lain-lain agensi kerajaan masih kekal ditutup.

Artikel Berkaitan:

Pihak MITI perlu menyelesaikan isu-isu sebegini dengan kadar segera. Rakyat juga pelik dengan tindakan kerajaan yang gagal untuk saling merujuk antara satu sama lain ketika negara berhadapan dengan krisis Covid-19.

Bantahan

Banyak tindakan MITI mendapat bantahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Itu jelas menunjukkan bahawa MITI berbuat keputusan tanpa merujuk kepada KKM terlebih dahulu, sedangkan KKM adalah kementerian utama yang wajar dirujuk sebelum sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan, hatta berkenaan pembukaan operasi mana-mana sektor sekalipun.

Pihak KKM sedang berhempas pulas menyelesaikan masalah Covid-19 ini tetapi pihak MITI pula seakan-akan sedang merosakkan usaha KKM dengan membenarkan lebih perniagaan atau sektor tidak penting untuk beroperasi.Biarpun kita faham situasi itu akan memberikan impak teruk kepada ekonomi dan pembangunan negara tetapi ia adalah satu pilihan tunggal yang kita ada iaitu dengan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Lihat kepada China, mereka sebelum ini berjaya memutuskan rantaian jangkitan tersebut, akhirnya kes jangkitan kembali dicatat setelah perintah berkurung ditarik semula. Itu adalah antara faktor atau dilema yang perlu difikirkan oleh kerajaan secara total.

Dalam menangani isu Covid-19, kerajaan perlu memastikan bukan sahaja urusan pembendungan jangkitan dan sektor ekonomi dikawal selia tetapi juga beberapa aspek lain seperti undang-undang. Undang-undang negara masih perlu berjalan seperti biasa.

Pindaan sementara kepada mana-mana akta atau undang-undang yang difikirkan perlu oleh kerajaan sepanjang menangani krisis ini adalah perlu.

Kementerian atau pihak berkuasa berkaitan tidak boleh mengumumkan perubahan sesuatu undang-undang atau keperluan berkanun (statutory requirements) tanpa meminda dan pewartaan. Saya mengharapkan agar kerajaan menguruskan krisis itu dengan lebih sistematik dan terbuka dalam mendengar suara, cadangan dan nasihat rakyat.

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur.