Membuka lembaran era baharu China-Malaysia

Baru-baru ini, Sidang Keempat Jawatankuasa Kebangsaan Ke-14 Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) dan Sidang Keempat Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Ke-14 China telah melabuhkan tirainya.
Garis panduan Rancangan Lima Tahun Ke-15 (FYP15) bagi pembangunan sosioekonomi yang diluluskan oleh Kongres Rakyat Kebangsaan menyediakan 'pelan tindakan' yang pragmatik dan boleh dilaksanakan untuk pembangunan China dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus menyuntik dorongan kuat untuk terus mara ke hadapan.
Dalam tempoh FYP15, China akan memperkukuh asas dan menggembleng usaha secara menyeluruh bagi membuka lembaran baharu dalam pembinaan pemodenan ala China.
Dengan tercapainya matlamat utama Rancangan Lima Tahun Ke-14 (FYP14) serta jumlah ekonomi yang melepasi 140 trilion yuan, China akan menumpukan kepada 20 penunjuk utama, 16 bidang tugas strategik penting serta 109 projek utama yang ditetapkan dalam garis panduan FYP15.
China akan berusaha secara terancang untuk memacu pembangunan berkualiti tinggi, memperkukuh kemandirian dan keupayaan teknologi serta memperdalam pembaharuan secara menyeluruh.
Di samping itu, China akan meningkatkan tahap peradaban masyarakat, mempertingkatkan kualiti hidup rakyat, memajukan pembinaan 'China yang Indah' serta mengukuhkan keselamatan negara.
China juga akan terus mendorong peningkatan ekonomi yang lebih berkualiti serta memastikan pertumbuhan keluaran ekonomi yang munasabah, di samping menggalakkan pembangunan menyeluruh insan dan kemakmuran bersama seluruh rakyat.
Kesemua usaha ini akan meletakkan asas penting bagi mencapai KDNK perkapita setaraf negara maju peringkat sederhana serta merealisasikan negara sosialis moden menjelang tahun 2035.
Dalam tempoh FYP15, China akan mengekalkan prinsip kemajuan yang stabil serta terus membuka pintu kepada dunia luar, sekali gus melangkah ke tahap baharu dalam keterbukaan berstandard tinggi.
Kehebatan sesebuah negara terletak pada keupayaannya memberi manfaat kepada dunia.
Sepanjang lima tahun lalu, ekonomi China mencatat kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 5.4 peratus, dengan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi global kekal sekitar 30 peratus.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, asas yang menyokong prospek jangka panjang ekonomi China yang positif akan menjadi semakin kukuh, manakala momentum pertumbuhan berterusan akan terus diperkasakan.
Sebagai pasaran pengguna paling berpotensi dan ekonomi sedang pesat membangun terbesar di dunia, China akan terus memperluas keterbukaan berasaskan sistem secara mantap.
Tumpuan akan diberikan kepada sektor perkhidmatan dalam memperluas akses pasaran serta bidang keterbukaan, di samping meningkatkan kualiti dan tahap kerjasama perdagangan dan pelaburan.
Langkah ini sekali gus memperkukuh peranan China sebagai sauh kestabilan dan sumber momentum kepada ekonomi global.
China juga bersedia berkongsi manfaat pembangunan dengan semua negara, menjadikan pasaran besarnya sebagai peluang kepada dunia serta memacu pertumbuhan global baharu menerusi pembangunan domestiknya.
Dalam tempoh FYP15, China akan berpandangan global serta berani memikul tanggungjawab dan terus menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Musuh manusia bukanlah antara satu sama lain, sebaliknya peperangan, kemiskinan, kelaparan dan ketidakadilan. Untuk mengatasi cabaran ini, dunia perlu bersatu padu dan bekerjasama.
Dalam situasi antarabangsa yang semakin bergolak dan tidak menentu, nilai serta kekuatan konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan semakin terserlah dan kian diterima masyarakat antarabangsa.
China akan terus memainkan peranan sebagai kuasa besar yang bertanggungjawab serta bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi menggalakkan dunia multipolar yang adil dan teratur, di samping memperkukuh globalisasi ekonomi yang inklusif dan memberi manfaat kepada semua.
China juga akan memperkukuh pelaksanaan empat inisiatif global iaitu Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI), Inisiatif Peradaban Global (GCI) dan Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI).
Pada masa sama, China akan mendorong pemodenan dunia yang bercirikan pembangunan aman, kerjasama saling menguntungkan dan kemakmuran bersama, sekali gus menggalakkan pembentukan orde antarabangsa yang lebih adil dan saksama serta menentang hegemoni, sikap sewenang-wenangnya dan amalan penindasan.
Tahun 2026 menandakan permulaan pelaksanaan FYP15 China dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Kedua-dua negara akan memasuki fasa penting yang menghubungkan masa lalu serta membuka lembaran baharu dalam proses pemodenan masing-masing.
China bersedia menjadikan ini sebagai titik tolak, berpandukan konsensus penting yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, untuk terus memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan bersama Malaysia serta merealisasikan hasil penting lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia tahun lalu.
China akan terus memajukan projek kerjasama berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan 'Dua Negara, Dua Taman'.
Selain itu, kedua-dua negara akan meneroka serta memanfaatkan kelebihan saling melengkapi dan potensi kerjasama dalam bidang strategik serta industri pesat membangun seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau.
Usaha ini termasuk membina hab kerjasama serantau bagi pembangunan kuasa produktif berkualiti tinggi, sekali gus memperkukuh pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia yang strategik dan bertaraf tinggi demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.
Perjalanan masih panjang, namun masa depan kian cerah. Kini, kedua-dua negara berada di titik permulaan baharu dengan lembaran '50 Tahun Keemasan' hubungan China-Malaysia yang terbentang luas.
Sebagai jiran yang saling membantu, sahabat sejati dan rakan yang berkongsi suka duka, China dan Malaysia diyakini akan terus berganding bahu melakar masa depan gemilang berteraskan kerjasama saling menguntungkan, memperkukuh semangat perpaduan serta mencipta sejarah yang makmur dan cemerlang.
*Ouyang Yujing ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
