Larian Kesyukuran dari Putrajaya ke Muar, Syed Saddiq sasar kutip RM200,000

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengadakan Larian Kesyukuran Muar sejauh empat hari dari Istana Kehakiman, Putrajaya ke Laman Maharani, Muar bermula pada Khamis dengan sasaran mengumpul dana RM200,000 bagi membantu golongan memerlukan di kawasan itu.
Menurut beliau, larian selama empat hari sehingga Ahad itu merupakan tanda kesyukuran selepas melalui perjalanan yang panjang dan mencabar, selain sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan masyarakat.
Katanya, dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada dua inisiatif utama iaitu penyediaan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta pembelian iPad bagi membantu pelajar yang memerlukan akses kepada peranti pembelajaran.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya menerima begitu banyak doa, sokongan dan kata-kata semangat daripada keluarga, rakan-rakan, pasukan saya serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Muar.
“Saya tidak mahu rasa syukur ini berhenti setakat diri saya sahaja. Saya mahu menterjemahkannya kepada satu usaha yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat Muar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sepanjang perjalanan itu, larian akan disiarkan secara langsung menerusi platform TikTok, Facebook dan YouTube bagi membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan perjalanan serta kutipan dana.
Menurutnya, semua sumbangan akan disalurkan melalui akaun rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar dan perkembangan kutipan akan dikemas kini secara berkala.
“Selepas kempen selesai, laporan penggunaan dan agihan dana akan dikongsikan kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Beliau berharap Larian Kesyukuran Muar bukan sekadar menjadi simbol kesyukuran, sebaliknya mampu diterjemahkan kepada bantuan nyata serta membuka peluang pendidikan yang lebih baik kepada masyarakat Muar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

