Janji hapus PTPTN perlu ditunai, bukan sekadar dibincang - Putera MIC

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberikan pendirian yang jelas berhubung janji penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana anak muda hari ini semakin muak terhadap janji yang berulang tanpa pelaksanaan.
Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Sangar berkata, kerajaan tidak seharusnya terus memberi jawapan bahawa perkara itu akan dibincangkan, sedangkan isu berkenaan pernah menjadi antara manifesto utama Pakatan Harapan (PH) ketika pilihan raya.
Menurutnya, selepas beberapa tahun mentadbir Kerajaan Persekutuan, rakyat khususnya golongan mahasiswa dan graduan berhak mengetahui sama ada janji berkenaan akan dilaksanakan atau sebaliknya.
“Anak muda berhak mendapat penjelasan yang jujur mengenai kedudukan sebenar janji tersebut, bukannya terus diberi harapan bahawa ia masih dalam peringkat perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut membangkitkan peranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abd Halim, yang pernah lantang memperjuangkan isu penghapusan PTPTN sebelum menyertai pentadbiran kerajaan.
Katanya, perubahan pendirian pemimpin yang sebelum ini aktif memperjuangkan isu tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan anak muda mengenai komitmen kerajaan terhadap manifesto pilihan raya.
Dalam pada itu, Shatesh berkata, graduan juga berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup yang tinggi, peluang pekerjaan yang semakin kompetitif serta beban hutang pendidikan yang memberi tekanan kepada kehidupan mereka.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan membentangkan pelan yang lebih jelas sekiranya penghapusan PTPTN tidak dapat dilaksanakan seperti yang dijanjikan.
Menurutnya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah pengurangan kadar bayaran balik, diskaun penyelesaian pinjaman, bantuan bersasar kepada peminjam dalam kategori B40 atau mekanisme pembayaran balik yang lebih fleksibel.
Beliau berkata, kepercayaan rakyat hanya dapat dipulihkan melalui pelaksanaan dasar yang jelas dan penunaian janji, bukannya sekadar pengumuman bahawa sesuatu perkara akan terus dibincangkan.
"Kepercayaan rakyat dibina melalui keberanian menunaikan janji, bukannya dengan mengulangi alasan bahawa perkara itu 'akan dibincangkan'," tegasnya.
Justeru beliau mengingatkan anak muda supaya tidak lagi mudah terpedaya dengan janji-janji politik yang tidak disusuli tindakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
