Penyatuan ummah bukan satu dongengan

Pas dan UMNO pernah bersatu dalam Muafakat Nasional selepas PRU 2018. Gambar kecil: Dr Kamarazaman Yacob
Pas dan UMNO pernah bersatu dalam Muafakat Nasional selepas PRU 2018. Gambar kecil: Dr Kamarazaman Yacob
A
A
A

SEORANG wartawan sebuah portal tempatan telah menulis sebuah artikel bertajuk 'Dongeng penyatuan ummah di Tanah Jawi' pada 29 Jun lepas.

Daripada tajuk itu sendiri, telah menampakkan sikap bias penulis dalam melihat sejarah penyatuan serta perjuangan yang bersandarkan kepentingan Melayu.

Bila penulis memilih perkataan ‘dongeng’ yang dihubungkan dengan penyatuan umat Melayu di negara ini, maka semakin terserlah bahawa beliau sebenarnya tidak mahu penyatuan umat Melayu berlaku. Atas sebab itu penulis memilih perkataan ‘dongeng’ daripada perkataan lain yang lebih lunak serta menggembirakan umat Melayu.

Dongeng? Penyatuan umat Melayu di negara itu sebuah dongengan? Umat Melayu dikira bersatu semasa menentang Malayan Union, selepas Perang Dunia Kedua iaitu pada 1946 bagi dan adakah bagi penulis tersebut satu dongengan N Faizal sebagai sebuah dongengan?

Apakah pembentukan Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abd Razak pada 1 Jun 1974, selepas kejadian rusuhan 13 Mei 1969 itu termasuk ke dalam dongengan?

Tun Abdul Razak mampu menyatukan dua parti besar umat Melayu di masa itu iaitu UMNO dan Pas. Atas kekuatan gabungan UMNO-Pas itu melanjutkan kekuasaan Melayu yang telah tergugat semasa PRU 3 (1969). Selepas UMNO-BN tewas pada PRU 14 (2018), sekali lagi pemimpin parti utama Melayu mencari titik temu.

Akhirnya Muafakat Nasional (MN) dimeterai oleh UMNO-Pas di PWTC, di mana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili UMNO dan Tan Sri Abdul Hadi Awang mewakili Pas pada 14 September 2019.

Atas kejayaan penyatuan tersebut, kesemua PRK selepas itu dimenangi oleh UMNO. Lapan PRK Parlimen dan DUN yang bermula dari Cameron Highlands, Semenyih, Tanjung Piai hingga Kimanis (Sabah) disapu bersih oleh UMNO yang mewakili MN.

Bermula daripada penyatuan umat Melayu menentang Malayan Union. Penubuhan BN dan diikuti oleh MN adalah realiti sejarah penyatuan ummat Melayu. Semuanya adalah sebuah catatan murni lagi mulia buat umat Melayu. Apakah penulisan beliau terhasil dari sikap prejudisnya terhadap penyatuan Melayu? Sudah berakar umbikah sikapnya itu?

Artikel Berkaitan:

Catatan kejayaan di atas telah menjadi inspirasi kepada pemimpin umat Melayu serta majoriti bani Melayu di negara ini mengejar ke arah penyatuan ummat Melayu.

Bagi majoriti ummat Melayu bahawa kejayaan yang telah ditempa selama ini bukanlah sebuah dongengan, sebaliknya kebenaran yang perlu dijejaki bagi menjamin ‘bungkusan kuasa’ kembali kepada pemimpin Melayu dari parti Melayu.

Mengapa penulis tersebut memilih perkataan ‘dongeng’ tentang penyatuan umat Melayu? Apa niat beliau apabila memilih perkataan tersebut terhadap suatu usaha murni lagi mulia buat umat Melayu? Sedangkan, beliau pastinya ketahui lagi jelas makna ‘dongeng’.

Dongeng adalah bermaksud cerita rekaan, atau cerita khayalan yang biasanya mengandungi unsur yang tidak benar, ajaib atau legenda. Apakah hasrat umat Melayu ingin bersatu, itu sebuah rekaan kosong?

Apakah keinginan kerjasaman antara Pas bersama UMNO dalam menghadapi Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Negeri Johor itu dongengan?

Semuanya adalah kebenaran. Hanya difikiran atau khayalan penulis itu sahaja melihat ianya sebuah dongengan. Barangkali pemikiran beliau dipenuhi asap kebencian yang menolak penyatuan umat Melayu. Hingga beliau menolak realiti sejarah dan memaksa fikirannya mengubah realiti tersebut sebagai dongengan.

Penyatuan ummah hanya retorik?

Penulis itu juga membuat kesimpulan bahawa, “ungkapan itu juga masih boleh dianggap retorik, menunggang bangsa dan agama, bahkan mungkin juga dilabel berunsur rasis serta tidak berpijak di bumi nyata.” Kesimpulan beliau agak menarik.

Bukan kerana ketepatan daya fikirnya. Tetapi tersasar jauh dari buah fikir yang rasional. Mungkin kerasionalannya sudah ditindih emosi yang melihat apa saja bentuk seruan menuju penyatuan ummah itu sebagai bangkit dari lopak rasis. Lebih jauh beliau menuduh usaha mulia lagi murni itu sebagai ‘menunggang bangsa dan agama’.

Siapa yang mengasuh ruang fikirnya, bahawa seruan kepada penyatuan ummah itu sebagai usaha menunggang bangsa dan agama. Bagaimana jalar fikirnya boleh terjun ke lubuk kesesatan, bila mentafsirkan seruan umat Melayu kepada penyatuan ummah sebagai menunggang agama dan bangsa?

Nampaknya beliau telah sesat di dalam kegelapan di gua kekusutan fikirnya. Bagaimana usaha sesuatu yang baik boleh ditafsirkan terbalik. Pastinya bertolak dari asas pemikiran yang salah dalam mencari kebenaran. Oleh kerana kejulingan mata hatinya, maka tentulah hasilnya di luar kejituan.

Ali Syariati, filsuf Iran menyatakan, “Berfikir dengan betul, bertindak dengan salah. Menghasilkan yang salah. Berfikir dengan salah, bertindak dengan betul. Menghasilkan yang salah. Berfikir dengan betul, bertindak dengan betul. Menghasilkan yang betul.” Bersandarkan ajaran filsuf Iran ini, nyata sekali untuk mendapatkan hasil yang betul perlu berasaskan daya fikir yang betu. Atau dalam bahasa yang mudah, niat serta tindakan mesti bertitik-tolak dari asas yang betul.

Oleh kerana penulis itu memulakan penulisan daripada hati serta premis yang salah, maka pastinya kita tidak menemui kebenaran daripada penulisannya.

Apakah pemimpin serta ummat Melayu menyeru kepada perjuangan kepentingan Melayu itu dianggap rasis? Mengapa pemimpin UMNO dan Pas tidak boleh memperjuangkan hak-hak serta kepentingan Melayu? Bila bersuara ke arah itu dianggap rasis dan mahu menindas bangsa atau kaum lain.

Mengapa bila orang UMNO cuba pertahankan hak-hak orang Melayu sepertimana termaktub di dalam perlembagaan sebagai rasis? Bilamana orang Pas menggesa umat Islam pertahankan hak-hak Islam sepertimana dibenarkan di dalam perlembagaan, dianggap rasis.

Bila pemimpin Pas mengajak ummat Islam bersatu serta pertahankan syiar Islam, lantas dianggap menunggang agama. Apakah wartawan portal itu tidak melihat bahawa pemimpin-pemimpin DAP hanya menyuarakan kepentingan orang Cina semata-mata.

Pernahkah DAP perjuangkan kepentingan Melayu? Jawabnya nehi dan yelik. Kadang-kadang seruan dan tindakan mereka bertentangan dengan perlembagaan. Apakah tindakan mereka itu tidak rasis? Adakah bangkangan mereka terhadap pembinaan masjid di Razak Exchange bukan didasari fikiran rasis? Banyak contohnya.

Pas sebuah parti sejak penubuhannya pada 1951, dan ROS meluluskan pada 1955 adalah memperjuangkan syiar Islam atau perjuangan berdasarkan Islam. Itulah garis Pas daripada dulu sampai sekarang.

Bila pemimpin Pas menyeru pemimpin UMNO untuk bersama memperjuangkan agama dan bangsa, maka itu adalah wadah perjuangannya. Sudah menjadi pengetahuan umum, bahawa seorang Melayu itu adalah beragama Islam.

Malah di dalam Perlembagaan Persekutuan pun dengan jelas mentafrifkan seseorang Melayu itu, adalah beragama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu, selain syarat-syarat lain. Itulah tiga asasnya

Sekiranya penulis itu boleh membuat kesimpulan, bahawa seruan kepada penyatuan ummah itu sebagai retorik basi, bagaimana sikapnya terhadap PKR yang berjuang dalam PRN Johor sekarang?

Kebanyakkan calon-calon PKR melaungkan slogan ‘Reformasi. Lawan tetap lawan’. Saya sendiri melihat di dalam video calon-calon PKR di dalam PRN Johor ini melaungkan slogan ‘reformasi’. Termasuk Dr Mazlee Malik yang menjadi calon di Puteri Wangsa.

Tidakkah laungan Dr Mazlee Malik dan rakan-rakan calon PKR yang lain itu, dengan slogan ‘reformasi’ tidak basi? Slogan yang masih didukung oleh anggota PKR sebenarnya, bukan saja basi malah meloyakan. Bila anggota PKR melaungkan slogan ‘reformasi’, biasanya disambut oleh orang ramai, dengan perkataan ‘reforbasi’ atau ‘reformati’.

Adakah telinga penulis itu tertutup rapat dari mendengar jawapan jelikan rakyat terhadap retorik basi itu. Rakyat sudah mual mendengar perkataan ‘reformasi’ yang hanya dijadikan umpan untuk mencuri keyakinan rakyat serta undi milik mereka.

Mengapa rakyat menjadi mual serta jelik lagi menjengkelkan terhadap slogan ‘reformasi’? Slogan itu dijunjung oleh pendukung PKR sejak kes Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Kononnya, bila Anwar menjadi Perdana Menteri semuanya akan direform.

Segala akta yang dianggap akta draconian akan dihapuskan. Segala bentuk yang dianggap mencekik hidup warga termasuk para pelajar akan disikat.

Harga barangan termasuk patrol akan turun. Bayaran tol di seluruh negara dimasuhkan. Hutang para pelajar atas nama PTPTN akan dimansuhkan. Harga kereta akan diturunkan. Sekadar mengingatkan beberapa nyanyian indah oleh para pemimpin PKR dalam mengulik lena mimpi indah buat rakyat. Tujuannya menyambar undi di tangan rakyat sambil membilang kerusi di Putrajaya.

Itulah zikir atau ratip kepimpinan PKR dari atas sampai ke bawah. Itu jugalah zikir Anwar sebelum mendapat kuasa. Bila beroleh kuasa, semua janji hilang ditelan kabus pembohongannya. Tidak ada suatu janji di dalam ratipnya dapat dilaksanakan.

Atas kebencian rakyat terhadap ‘reformasi’ yang basi lagi busuk itulah, maka PMX menjadi Perdana Menteri pertama mendapat segala bentuk cacian oleh warga media masa. Beliau menjadi Perdana Menteri pertama menerima kutukan rakyat dari segenap segmen masyarakat.

Dinamika politik seperti air mengalir

Saya sering menulis tentang politik sebagai- permainan mendapat serta mengekalkan kuasa. Sesuai dengan politik yang begitu dinamika, maka pemainnya akan mencorakkan parti yang dikuasai untuk mencapai kuasa. Bila mendapat kuasa, maka kuasa itu perlu dipertahankan dalam apa cara sekalipun. Sehingga dalam mendapatkan kekuasaan serta mengekalkannya, kadang-kadang terikut kaedah apa yang ditunjukkan oleh Niccolo Machiavelli (1469) iaitu ‘tujuan menghalakan cara’. Sebenarnya, Ibn Khaldun (1332) seorang pemain politik di Afrika Utara dan Granada lebih awal dalam melaksanakan kaedah, tujuan menghalalkan cara dalam mendapatkan kedudukan serta pengaruh.

Wartawan portal itu turut menyentuh soal kedudukan serta percaturan Pas di dalam Perikatan Nasional (PN). Beliau memperli Pas dengan Bersatu persis seorang suami isteri. Bercinta dan berpisah tetapi masih sebumbung dalam menghadapi PRN Johor. Beliau turut memperli, di mana slogan penyatuan ummah ditimbulkan ketika pergolakan berlaku di dalam PN.

Benar memang berlaku pergolakan di dalam PN. Tapi bukan berpunca daripada Pas. Sebaliknya, kalau disusur secara jujur, jelas sekali puncanya dari Bersatu. Masalah dalaman Bersatu. Pemegang pancang kuasa dalam Bersatu bertindak menggantung serta memecat sesiapa sahaja yang tidak sebulu dengannya. Akhirnya menimbulkan pemberontakan secara terbuka oleh kumpulan Timbalan Presiden iaitu Datuk Hamzah Zainuddin.

Selepas Hamzah dipecat, beliau serta 18 ahli Parlimen Bersatu memilih jalan baru dengan memilih parti Wawasan Negara (Parti Cinta Malaysia). Jadi adalah lebih tepat kalau Pas lebih cenderung untuk merapati Hamzah daripada Muhyiddin bersandarkan apa yang berlaku di dalam Bersatu. Disamping itu, Hamzah memimpin 18 MP, manakala Muhyiddin hanya mempunyai 6 MP termasuk dirinya.

Mengapa penulis itu hanya nampak pergolakan dan perpecahan di dalam PN semata-mata. Adakah matanya menjadi rabun dalam melihat pergeseran, pergolakan dan perpecahan di dalam PKR. Macam-macam cerita ketidakjujuran dalam pemilihan kepimpinan PKR yang didedahkan oleh Rafizi serta simpatatesnya. Sehingga timbul istilah ‘badan tanpa kepala’.

Team Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi meninggalkan PKR. Kini mereka terlibat menggempur PKR dalam PRN Johor. Sejauhmana kekuatan Bersama, parti dipimpin Rafizi, itu soal lain. Yang jelasnya penulis tidak pun menyentuh soal keberantakan di dalm PKR. Di mata rabunnya hanya nampak PN.

Kurang tepat, bila penulis itu mentakrifkan rapatnya hubungan antara Wawasan Negara dengan Pas itu dianggap sebagai cinta tiga segi. Hubungan rapat antara Hamzah dengan Datuk Seri Taqiyuddin Hassan, Setiauasaha Agung Pas serta Hadi Awang, sudah lama terjalin. Memilih rakan sepasukan dalam perjuangan kepartian adalah perkara biasa. Berubah rakan pasukan atau komponen sesuatu organisasi itu merupakan sebahagian dari dinamika politik. Semuanya bergantung pada kondisi dan situasi semasa.

Sebagai wartawan, tentulah penulis itu telah melihat beberapa pakatan organisasi politik sejak Anwar melaungkan ‘reformasi’. Apatah lagi portal yang beliau bernaung itu seolah-olah cenderung kepada perjuangan PKR. Tentulah beliau masih ingat tentang Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Semuanya terhasil dari dinamika politik.

Barisan Alternatif (BA) lahir dan melancarkan manifesto pada Oktober 1999 dalam menentang Barisan Nasional (BN). BA tertubuh oleh Parti Pas, PKR, DAP dan PRM (Parti Rakyat Malaysia). Selepas PRU 1999, selepas Pas mendapat Kelantan dan Terengganu, timbul percakaran antara Pas dan DAP berpunca daripada isu negara Islam. Selepas itu lahir pula Pakatan Rakyat (PR) pada 1 Ogos 2008. Tiga parti yang terlibat iaitu PKR, DAP dan Pas.

Hasilnya, PR dapat menafikan kemenangan 2/3 oleh BN dan menguasai Selangor, Penang, Kedah, Kelantan dan Perak. Pada 2015, PR runtuh berpunca dari percakaran antara DAP dengan Pas. Pada 22 September 2015, terbentuk Pakatan Harapan.

Terdiri dari parti PKR, DAP, Amanah dan disertai oleh Bersatu pada 2016. Hasilnya PH memenangi PRU 14 (2018) dan membenntuk Kerajaan Pusat dengan Mahathir Mohammad sebagai PM. Selepas timbul Langkah Sheraton, Mahathir melepaskan jawatan PM. Menjadikan PH disertai oleh PKR, DAP, Amanah. Kini PAS memilih dan menetukan hala tujunya serta menentukan dinamika politiknya.

Pas menang di medan tempur Johor

Penulis itu dalam tulisannya menyatakan, “ sehingga hari ini masing-masing sedang memburu ‘kekalahan’ di Johor, sama ada secara langsung atau tidak langsung.” Beliau membuat kesimpulan tersebut bersandarkan pergolakan yang berlaku di dalam PN. Sebenarnya, Pas tidak cuak dengan keputusan PRN Johor. Di Johor, Pas ada satu kerusi di Maharani. Begitu juga dengan Bersatu, hanya ada dua kerusi iaitu Bukit Kepong dan Endau.

Jadi kalau Pas menang lagi satu kerusi, bermakna Pas berjaya menambah 100% kejayaan. Yang paling cuak dengan keputusan PRN Johor ini adalah DAP, rakan PKR dalam PH. DAP bimbang keputusannya seburuk keputusan PRN Sabah di mana semua calon DAP tewas. Bukan Pas. Malah telah dilihat bahawa Pas telah menang di PRN Johor.

Jelas, Pas memasuki PRN Johor, bukan mengejar kejayaan merebut kerusi DUN. Pas mengejar dan mengimpikan, jauh lebih besar dari memungut kerusi di DUN Johor. Itulah yang tidak dapat difahami oleh penulis itu. Maka itu, beliau menyerang Pas sambil memperlekehkan UMNO yang diibaratkan, ’parti si itik patah kaki’. Adakah beliau merasa bimbang akan terjadinya penyatuan ummah di Tanah Jawi ini. Oeh itu, selain menembak Pas, beliau turut mahu menjerat kaki UMNO yang dijenamakan itik patah kaki, supaya mati tenggelam. Bila kedua-dua kaki telah patah, tentulah baginya itik itu akan mati lemas.

Penulis itu, sama ada terlupa atau membuat lupa bahawa lahirnya kerajaan campuran Madani ini, adalah kerana sumbangan UMNO-BN. PKR hanya memenangi 33 kerusi parlimen, DAP 40, Amanah 8. Kalau tidak kerana ‘itik patah kaki’ ini menyumbangkan 30 kerusi, tentu sekali PH tidak dapat membentuk Kerajaan Campuran ini.

Sarawak tidak akan memberi sokongan kepada PH, kalau tidak kerana UMNO-BN telah menyokong PH. Sebabnya mudah, musuh atau pesaing GPS di Sarawak adalah PH. Sikap yang ada pada N Faizal seperti pepatah-kacang lupakan kulit. Kalau tidak kerana sumbangan ‘itik patah kaki’, barangkali sampai sekarang Anwar Ibrahim tidak menjadi PM. Mungkin berkempunan sehingga akhir hayatnya.

Pas dilihat menang kerana menyelesaikan kekusutan fasal pembahagian kerusi dan penggunaan logo PN. Semua rakan komponen termasuk Bersatu dapat menggunakan logo PN dalam PRN Johor. Pas secara terbuka menjelaskan bahawa parti itu tiada hubungan dengan prestasi Bersatu nanti. PAS dan Bersatu bersendirian dalam PRN Johor.

Lebih berani, Pas telah menyeru anggota serta simpatatesnya supaya mengundi BN, ditempat tiada calon PN. Inilah taktik dan strategi yang begitu mahal diambil oleh Pas dalam PRN Johor ini. Nampaknya Pas sedang mencapai apa yang dihajatinya untuk penyatuan umat Melayu di negara ini. Itulah kemenangan awal Pas.

Kefahaman ini lebih mahal daripada memenangi puluhan kerusi DUN Johor. Tindakan Pas di Johor akan menjadi titik-tolak terhadap penyatuan umat Melayu yang lebih kukuh lagi mantap sebelum menghadapi PRU nanti. Pastinya usaha Pas ini mendapat restu oleh jutaan umat Melayu yang rindukan penyatuan dua parti besar Melayu iaitu Pas-UMNO.

Kesimpulannya, tanda-tanda kejayaan Pas di Johor sangat jelas. Kejayaan di Johor ini akan menjadi jambatan penghubung antara Pas-UMNO diperingkat nasional. Penyatuan ummah melalui UMNO-Pas akan menjadi igauan yang mengerikan seluruh warga PH. Penyatuan ummah diwakili Pas-UMNO ini bukan suatu dongengan. Suatu realiti yang meruntuhkan semangat seluruh warga PH. Turut terpukul nanti ialah penulis itu sendiri.

* Penulis ialah Pengerusi Iktisas Kepimpinan Kamarazaman dan seorang penganalisis politik.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!