Henti lawak menghina, kembalikan martabat industri komedi

Lawak yang berkualiti ialah lawak yang mampu membuat penonton ketawa melalui kreativiti, kepintaran dan jalan cerita yang menarik. Gambar hiasan
Lawak yang berkualiti ialah lawak yang mampu membuat penonton ketawa melalui kreativiti, kepintaran dan jalan cerita yang menarik. Gambar hiasan
A
A
A

SUATU ketika dahulu, industri lawak tempatan menjadi antara cabang hiburan yang paling dinanti-nantikan.

Rancangan komedi berjaya menghimpunkan seluruh keluarga di hadapan televisyen, manakala dialog-dialognya menjadi sebutan masyarakat.

Hari ini keadaan tersebut dilihat semakin berubah, banyak lawak yang dianggap tidak membina kerana bergantung kepada unsur penghinaan, sindiran melampau dan 'body shaming'.

Bentuk lawak seperti mengutuk rupa paras, berat badan, warna kulit, ketinggian atau kekurangan fizikal seseorang sering dijadikan bahan ketawa.

Misalnya, dakwaan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikatakan menjadi mangsa penghinaan fizikal atau body shaming menerusi satu persembahan komedi oleh pelawak terkenal, Harith Iskander Musa.

Susulan daripada itu, Rosmah, 75, memfailkan writ saman menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Harith sebagai defendan.

Berdasarkan penyataan tuntutan, saman itu berkaitan persembahan 'stand-up comedy' bertajuk 'Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour' yang diadakan di Swiss-Garden Hotel, Melaka pada 17 Januari lalu.

Rosmah mendakwa, ketika persembahan berkenaan, Harith memaparkan imej makhluk mitologi yang digambarkan sebagai menyeramkan seperti toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan gambarnya sebagai sebahagian daripada naratif jenaka.

Walaupun ada yang menganggapnya sekadar gurauan, hakikatnya lawak seperti ini sangat tidak beradab dan boleh mengguris perasaan individu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain body shaming, terdapat juga pelawak yang menjadikan isu peribadi seseorang sebagai bahan jenaka.

Hal-hal yang melibatkan kehidupan keluarga, status perkahwinan, latar belakang, masalah kewangan atau kisah silam seseorang kadangkala dijadikan modal untuk mendapatkan ketawa penonton.

Tindakan sedemikian menimbulkan persoalan, apakah yang sedang berlaku kepada industri lawak pada hari ini?

Adakah matlamat utama seorang pelawak masih untuk menghiburkan masyarakat, atau sekadar mengejar perhatian, tontonan dan populariti di media sosial?

Persaingan mendapatkan jumlah tontonan dan perkongsian yang tinggi kadangkala mendorong sesetengah individu menghasilkan kandungan yang lebih sensasi berbanding berkualiti.

Jika dibandingkan dengan era kegemilangan kumpulan Senario, pendekatan lawak pada masa dahulu dilihat lebih dekat dengan kehidupan masyarakat dan lebih mesra keluarga.

Lawak mereka banyak berasaskan situasi harian, salah faham, telatah watak dan nilai persahabatan serta kekeluargaan.

Penonton boleh ketawa tanpa perlu melihat seseorang dihina atau dijadikan sasaran jenaka.

Seorang pelawak yang profesional seharusnya memahami bahawa kata-kata mereka mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat.

Mereka perlu lebih peka terhadap batas jenaka dan memastikan kandungan yang disampaikan tidak menjatuhkan maruah mana-mana individu.

Ini kerana lawak yang berkualiti ialah lawak yang mampu membuat penonton ketawa melalui kreativiti, kepintaran dan jalan cerita yang menarik, bukannya dengan menghina rupa paras, kelemahan atau kehidupan peribadi seseorang.

Kesimpulannya, hentikan lawak menghina dan industri ini tidak seharusnya kehilangan identitinya semata-mata untuk mengejar populariti atau perhatian di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!