Anwar mohon DAP Melaka tangguh keputusan keluar daripada kerajaan negeri

PORT DICKSON - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan parti itu untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri bagi memberikan tumpuan pada pembangunan dan kebajikan rakyat.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama-sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan berharap rundingan dapat diteruskan bagi mencapai penyelesaian yang terbaik.
"Perkara itu sudah saya cakap dan tanya dengan Menteri (Pengangkutan Anthony) Loke, dengan DAP (Melaka) dan juga Ketua Menteri supaya mereka runding dahulu … tangguh sekejap, supaya kita boleh buat kerja dengan kerajaan negeri sehingga pilihan raya,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelabuhan Midport - Pelabuhan Kontena Pintar berkuasa Kecerdasan Buatan (AI) di Port Dickson, hari ini.
Anwar berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen kerajaan ialah perkara biasa, namun perkara itu tidak seharusnya menjejaskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
"Walaupun ada dua, tiga perkara yang tidak dipersetujui, tidak mengapa. Sekarang ini, banyak perkara yang kita tidak setuju bersama, tetapi dari segi dasar untuk pertumbuhan ekonomi dan rakyat, kita teruskan.
"Jadi, saya harap mereka pertimbangkan (untuk menangguhkan dahulu),” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerajaan negeri dapat meneruskan tugas dan tanggungjawabnya dengan tenang sehingga selesai pilihan raya.
DAP Melaka hari ini mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan.
Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian parti yang menolak rang undang-undang berkenaan kerana didakwa bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

