Lembah Klang rekod 100 hotspot warga asing

Zakaria dalam sidang akhbar selepas operasi di Jalan Kenanga pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Zakaria dalam sidang akhbar selepas operasi di Jalan Kenanga pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Op Mega yang digerakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara bermula Ahad bertindak menahan 503 warga asing, selain mengenal pasti lebih 200 hotspot.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan disertai 876 pegawai daripada Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, seramai 2,260 individu yang terdiri daripada warga asing dan majikan diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

“Daripada jumlah itu, 503 warga asing membabitkan 408 lelaki dan 95 wanita ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

"Mereka terdiri daripada 290 warga Bangladesh, 101 warga Myanmar, 66 warga Indonesia, 38 warga Nepal, 36 warga India dan 10 lagi warganegara lain,” katanya pada sidang media selepas Op Mega di Jalan Kenanga di sini pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli.

JIM menggempur Jalan Kenanga, Kuala Lumpur pada Isnin.
JIM menggempur Jalan Kenanga, Kuala Lumpur pada Isnin.

Tambah Zakaria, Op Mega terbabit turut mengeluarkan Borang 29 kepada 120 individu bagi membantu siasatan sebagai saksi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua tahanan akan ditempatkan di depot tahanan Imigresen di seluruh negara untuk siasatan dan tindakan susulan.

Jelasnya, antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas dan memiliki kad yang tidak diiktiraf, manakala kesalahan paling banyak dikesan membabitkan warga asing yang tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas.

“Ada yang memiliki pas bagi sektor pembinaan tetapi bekerja di kedai kain atau premis pakaian.

“Kita turut menahan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk semakan lanjut bagi mengesahkan ketulenan kad berkenaan,” ujarnya.

Zakaria berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada lokasi yang dikenal pasti sebagai hotspot warga asing.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan lebih 200 hotspot di seluruh negara, dengan sekurang-kurangnya 100 daripadanya berada di sekitar Lembah Klang.

"Jalan Kenanga di sini pun salah satu hotspot warga asing.

“Kita tidak akan berkompromi dan tidak akan memberi ruang kepada warga asing berada di negara ini secara tidak sah atau berleluasa,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!