'Pas ibarat lilin yang membakar diri' - Hadi Awang

Abdul Hadi (dua dari kiri) berucap ketika majlis Makan Malam Perdana Pas Negeri Sembilan pada Ahad.
Abdul Hadi (dua dari kiri) berucap ketika majlis Makan Malam Perdana Pas Negeri Sembilan pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN – Meskipun Pas gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun parti itu tetap bersyukur kerana negeri berkenaan terus diterajui pemimpin Melayu-Islam di bawah Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sanggup berkorban demi memastikan kuasa politik Melayu-Islam terus kekal di negeri terbabit dengan mengerahkan ahlinya memberi sokongan kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi mereka.

"Alhamdulillah, kita bersyukur kepada ALLAH kerana Johor selamat. Tidak mengapa BN menang dan kita tidak menang walaupun satu kerusi pun kerana kita melakukan islah untuk membaiki keadaan mengikut kemampuan kita.

"Pas sanggup berkorban dengan mengerahkan ahli supaya memberi sokongan kepada calon BN di kawasan yang tidak kita tandingi termasuk sokongan kepada calon MCA," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Perdana Pas Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Jelas beliau, langkah itu bagi memastikan PH dapat ditewaskan dan ia berjaya memberi kemenangan besar kepada BN.

Menurutnya, pengorbanan Pas itu diibaratkan seperti lilin yang membakar diri bagi memberi cahaya kepada orang lain.

Abdul Hadi bagaimanapun mengingatkan BN supaya tidak leka dengan kemenangan tersebut kerana mereka tidak akan kuat selama-lamanya.

"UMNO jangan ingat dia kuat sampai bila-bila. Pada pilihan raya lalu, ada kawasan yang UMNO kalah dan dimenangi calon DAP Melayu,"katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa parti itu menyertai PRN Johor dengan semangat untuk menyelamatkan kepimpinan Melayu, bukannya mahu mengetuai kepimpinan di negeri terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana ujarnya, sekiranya terlalu banyak parti Melayu yang bertanding, ia akan menyebabkan orang Melayu lebih berpecah.

"Pas nak tawan Johor tak boleh kerana UMNO sudah menang di Johor. Tapi UMNO ini ada Melayunya yang dekat dengan Islam,"katanya.

Selain itu, Abdul Hadi berkata, parti itu terbuka bekerjasama dengan orang bukan Islam selagi ia membawa kebaikan, tanpa mereka mencampuri hal ehwal agama berkenaan.

Namun beliau mendakwa, DAP sebaliknya apabila menentang corak perjuangan Islam yang ingin dibawa Pas ketika mereka bersama dalam gabungan Pakatan Rakyat.

"DAP kritik Islam dan tidak terima cara perjuangan Islam Pas. Bila kerajaan Kelantan dan Terengganu nak haramkan arak dan judi, DAP campur tangan.

"Dalam perlembagaan Malaysia telah mengatakan hukum Islam tidak boleh dikenakan kepada orang bukan Islam, namun DAP ini semakin melampau yang mana bila dia menguasai sedikit kerajaan Pusat, dia sentuh agama Islam, sentuh Raja-Raja Melayu dan perlembagaan," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!