Polis Afrika Selatan siasat kematian pemain Piala Dunia Jayden Adams

Mayat Jayden Adams ditemukan di sebuah kediaman di Cape Town pada hujung minggu.
Mayat Jayden Adams ditemukan di sebuah kediaman di Cape Town pada hujung minggu.
A
A
A

ISTANBUL - Polis Afrika Selatan sedang menyiasat kematian pemain bola sepak Piala Dunia Jayden Adams, selepas mayatnya ditemukan di sebuah kediaman di Cape Town pada hujung minggu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan pada Isnin.

Adams, 25, mewakili Afrika Selatan pada Piala Dunia tahun ini dan adalah pemain tengah bagi kelab Mamelodi Sundowns.

Mayatnya ditemukan pada pagi Sabtu di sebuah kediaman di Military Road, di kawasan kejiranan Schotsche Kloof.

Jurucakap polis berkata, satu kertas siasatan kematian mengejut dibuka dan keadaan yang membawa kepada kematian itu masih dalam siasatan. Pihak berkuasa masih belum mengumumkan punca kematian.

Kematian Adams berlaku hanya beberapa minggu selepas beliau membantu Afrika Selatan mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama.

Menteri Sukan, Seni dan Kebudayaan Afrika Selatan, Gayton McKenzie, meminta orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kematian itu sementara siasatan masih dijalankan.

Sebagai tanda penghormatan kepada Adams, beberapa perlawanan Piala Dunia pada hujung minggu menyaksikan upacara bertafakur sejenak diadakan sebelum sepak mula. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!