Dana AADK bukan untuk pusat pemulihan persendirian

Zulkifli Abdullah
Zulkifli Abdullah
A
A
A

KAJANG - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengagihkan dana sebanyak RM15 juta bagi model projek rintis di 12 kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah di seluruh Malaysia.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 58 hingga 60 peratus diperuntukkan untuk badan bukan kerajaan (NGO), manakala sebanyak 23 peratus melibatkan 155 agensi kerajaan dan bakinya digunakan pengurusan di ibu pejabat AADK.

Menurutnya, agihan kepada NGO itu adalah untuk melaksanakan program dan aktiviti berdasarkan permohonan yang dikemukakan NGO berkenaan.

“Setakat 12 April bagi fasa pertama pada tahun ini, sebanyak 278 permohonan berjumlah RM3.28 juta telah diluluskan. Semua permohonan dinilai oleh jawatankuasa penilai.

“Malah, AADK juga perlu menyerahkan laporan pengagihan dana khas ini kepada Kementerian Kewangan kerana dana ini tidak boleh diagihkan sesuka hati.

“Model projek perintis ada objektif yang jelas, selain mencari modul terbaik sebelum ia diperluaskan ke 155 kawasan berisiko tinggi seluruh negara pada tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang merayu AADK menggunakan peruntukan tersebut untuk diagihkan kepada kira-kira 30 NGO yang menghadapi masalah kewangan akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Zulkifli berkata, perjanjian antara AADK dan NGO bagi melaksanakan program yang diluluskan itu tidak dapat dimeterai kerana masalah duti setem berikutan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) tidak beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“NGO berkenaan juga tidak boleh mengadakan sebarang program di lapangan ketika ini, jadi siapakah 30 NGO yang dimaksudkan oleh Pemadam? Ia tidak jelas. Adakah mereka ini merupakan pengusaha pusat pemulihan persendirian?

“Jika ya, AADK sebagai sebuah agensi kerajaan tidak boleh menyalurkan dana kewangan untuk pengurusan pusat pemulihan persendirian,” katanya.

Beliau berkata, AADK juga tidak menerima sebarang aduan berkaitan dan mengalu-alukan Pemadam untuk menghubungi pihaknya.