Buruh didenda RM6,500 keluarkan kata-kata kesat kepada polis

Seorang buruh didenda RM6,500 kerana mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menendang seorang anggota polis ketika serbuan pada bulan lalu
Seorang buruh didenda RM6,500 kerana mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menendang seorang anggota polis ketika serbuan pada bulan lalu
A
A
A

MACHANG – Padah mengeluarkan kata-kata kesat 'menate mu beruk' dan 'menate polis babi' sebelum menendang seorang anggota polis ketika serbuan pada bulan lalu, seorang buruh didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad.

Tertuduh, Mohamad Ariff Hakimi Che Ghani, 26, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Ariff Hakimi didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam, iaitu anggota polis, Sub Inspektor Mohmad Zulkifli Mat daripada menjalankan tugasnya di hadapan sebuah rumah di Kampung Laklok pada jam 8.15 malam, 27 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar manakala Mohamad Ariff diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nor Husniza Akmal Husain.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rais Imran menegur perbuatan tertuduh yang tidak sepatutnya mengherdik anggota polis ketika menjalankan tugas.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,500 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Terdahulu, Siti Asma’a memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Nor Husniza dalam rayuannya memohon denda minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

"Tertuduh yang masih bujang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM50 sehari dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya," katanya.

Mengikut fakta kes, Mohamad Ariff Hakimi bertindak agresif dengan menendang anggota polis sebelum berlaku pergelutan semasa proses tangkapan dijalankan dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Laklok pada 27 Jun lalu.

Ketika pemeriksaan tubuh badan dijalankan, lelaki itu tidak memberi kerjasama sebelum menjerit dengan mengatakan 'menate mu beruk' dan 'menate polis babi' serta mengulangi kata-kata tersebut beberapa kali kepada anggota polis.

Mohamad Ariff Hakimi turut menendang anggota polis yang menangkapnya ketika mengeluarkan kata-kata kesat itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!