[VIDEO] PRN Johor: BN menang kerana sokongan pengundi PN - Anthony Loke

A
A
A

JELEBU - Peralihan sokongan sebahagian penyokong Perikatan Nasional (PN), kepada Barisan Nasional (BN) menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan besar kepada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan pola pengundian, sokongan pengundi Melayu memihak kepada BN dalam jumlah yang besar sekali gus memberi kesan terhadap sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan (PH).

"Pada pilihan raya lalu di Johor, kita menang kerana ada pertembungan tiga penjuru yang mana kita menang dalam lingkungan 40 peratus pengundi.

"Tapi oleh kerana dinamika pilihan raya kali ini berlainan iaitu satu lawan satu, maka 'vote transfer' itu tidak berlaku kepada kita, tapi berlaku kepada calon BN," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani Tahun 2026 Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kampung Chennah di sini pada Ahad.

Menurutnya, keadaan itu memberi kelebihan kepada calon BN apabila memperoleh sokongan daripada penyokong PN sekali gus menyebabkan DAP gagal mempertahankan beberapa kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

Bagaimanapun katanya, di enam DUN yang dimenangi, DAP masih dapat memperoleh sokongan melebihi 50 peratus pengundi terutamanya di kawasan luar bandar.

"Di enam kawasan kita menang dengan majoriti jelas iaitu melebihi 50 peratus. Ini bermakna kita masih dapat sokongan yang baik khususnya di kawasan bandar.

"Keputusan di Johor ini sudah tentu mendukacitakan bagi pihak PH. Namun begitu, setiap hari adalah hari baharu dan kita mulakan hari ini dengan fokus kita kepada PRN Negeri Sembilan," katanya.

Menteri Pengangkutan itu berkata, keputusan terbabit sememangnya sudah dijangka kerana seperti yang semua sedia maklum, sokongan pengundi di negeri itu terhadap kerajaan BN agak kuat.

Artikel Berkaitan:

Anthony Loke ketika program Kampung Angkat Madani Tahun 2026 di Kampung Chennah.
Anthony Loke ketika program Kampung Angkat Madani Tahun 2026 di Kampung Chennah.

Namun jelas Anthony, PH telah cuba berusaha sedaya upaya untuk meraih kemenangan, namun menghormati keputusan yang dibuat oleh para pengundi.

"Kita cuba sedaya mungkin dan bagi pihak DAP kita berterima kasih kepada pengundi.

"Walaupun DAP hanya dapat mempertahankan enam daripada 10 kerusi yang ditandingi, namun pola sokongan kita masih kekal," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Johor: 55 calon hilang wang deposit

Dua faktor kemenangan BN

[RASMI] Keputusan penuh 56 kerusi PRN Johor ke-16

BN menang besar 48 kerusi DUN Johor - SPR

[RASMI] PRN Johor: SPR umum BN menang besar 48 kerusi DUN Johor

Justeru beliau yang merupakan Pengerusi DAP Negeri Sembilan berharap, jentera parti itu kini memberi tumpuan kepada PRN Negeri Sembilan yang akan diadakan tidak lama lagi bagi memastikan gabungan itu dapat terus memerintah di negeri terbabit.

Anthony juga berpendapat, kekalahan PH di Johor tidak akan memberi kesan langsung terhadap keyakinan pengundi di Negeri Sembilan terhadap mereka kerana dinamika politik antara kedua negeri berkenaan adalah berbeza.

"Sudah tentu di Negeri Sembilan dinamika politiknya berlainan yang mana PH merupakan penyandang kerajaan negeri dan Menteri Besar pula daripada gabungan itu.

"Jadi sudah tentu kita akan berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan kerusi kita sebab dalam pilihan raya lepas kita menang 17 kerusi manakala BN hanya menang 14 kerusi, sudah semestinya kita mempunyai kelebihan berbanding mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

[RASMI] PRN Johor: Maszlee menang DUN Puteri Wangsa

SPR teliti isu muat naik kertas undi sudah dipangkah di media sosial

Anwar ucap tahniah kepada BN, janji Kerajaan Persekutuan terus bantu Johor

[RASMI] PRN Johor: Pas hilang kubu terakhir

PRN Johor: Kekalahan PN sudah dijangka, pengerusi perlu bertanggungjawab letak jawatan

Dalam pada itu ditanya berkenaan sokongan masyarakat Cina yang mungkin merosot terhadap DAP, Anthony berkata, ia tidak tepat kerana berdasarkan pola pengundian di kawasan dimenangi PH, ia masih melebihi 80 peratus.

"Tapi amat jelas bahawa sokongan daripada penyokong PN pada pilihan raya lepas telah pun beralih sokongan mereka kepada BN dan kita mengakui itu kejayaan BN.

"Jadi kita ucapkan tahniah kepada mereka," katanya.

Pada PRN Johor, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH hanya memenangi lapan kerusi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!