PH akui populariti Onn Hafiz, peralihan sokongan PN faktor kemenangan BN

JOHOR BAHRU - Populariti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi khususnya dalam kalangan pengundi muda dilihat antara faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, PH akan melakukan penelitian menyeluruh terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi mengenal pasti faktor sebenar yang mempengaruhi corak pengundian rakyat.
"PRN Johor merupakan pertarungan yang melibatkan Menteri Besar dan tahap populariti beliau dalam kalangan golongan muda adalah salah satu faktor yang perlu kita ambil kira.
“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana kita perlu meneliti data setiap saluran bagi mengetahui angka sebenar serta trend pengundian,” katanya dalam sidang media di Pusat Informasi PH di sini pada Sabtu.
Mengupas lanjut Khalid berkata, sokongan tradisi terhadap PH masih kukuh, namun perubahan sebahagian penyokong Bersatu dan Pas beralih memberikan sokongan kepada calon BN turut memainkan peranan.
"Sokongan tradisi PH masih kuat. Hanya secara amnya masalah bagi kita ialah Bersatu hampir kehilangan pengikut dan penyokong Bersatu serta sebahagian daripada Pas mengundi calon BN.
“Ini satu perubahan yang tidak dijangka dan hasil daripada itu kita kalah bukan kerana sokongan kepada PH berkurangan tetapi kerana berlaku swing serta pertambahan undi yang pergi kepada calon BN,” katanya.
Jelasnya lagi, PH akan kembali ke ‘war room’ untuk menilai setiap saluran mengundi termasuk mengenal pasti perubahan sokongan mengikut lokaliti sebelum merangka strategi baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"Keputusan PRN Johor tidak boleh dijadikan ukuran mutlak terhadap PRU16 kerana kedua-dua pilihan raya mempunyai landskap politik berbeza.
"PRN lebih dipengaruhi isu serta kepimpinan kerajaan negeri, manakala pada PRU kelak fokus rakyat akan lebih tertumpu kepada persoalan siapa yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan.
“PH tetap optimis menghadapi PRU16 dan akan menggunakan tempoh kira-kira setahun akan datang untuk memperkukuhkan gerak kerja serta memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti hasil keputusan PRN Johor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

