Kilang kertas terbakar, 50 pekerja warga asing nyaris terperangkap

SHAH ALAM - Seramai 50 pekerja warga asing nyaris terperangkap apabila sebuah kilang kertas terbakar dalam kejadian di sini, awal pagi Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pemeriksaan pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang kertas yang terletak bersebelahan saluran paip gas Petronas.
"Turut terdapat sebuah asrama pekerja yang diperbuat daripada kontena di bahagian belakang kilang dengan kira-kira 50 pekerja warga asing berada di situ ketika kejadian.
"Bagaimanapun, kesemua penghuni asrama berjaya menyelamatkan diri dan tiada mangsa dilaporkan terlibat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.46 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bersama bantuan BBP Sri Andalas dan BBP Klang Utara dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 1.57 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan kilang kelas B berkeluasan kira-kira 100 x 200 kaki persegi dengan anggaran 30 peratus premis terbakar.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.50 pagi dan kerja-kerja pemadaman diteruskan bagi memastikan api dipadam sepenuhnya.
"Kebakaran dipercayai bermula daripada longgokan kertas di dalam kawasan kilang. Operasi pemadaman turut dibantu sebuah jentera pengorek (JCB) bagi memudahkan kerja-kerja mengalihkan longgokan kertas yang masih terbakar," katanya.
Ashrul Riezal berkata, operasi pemadaman melibatkan 19 anggota menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah lori tangki air.
Menurutnya, premis itu juga didapati tidak mempunyai sistem kebakaran, manakala pili bomba terdekat berada pada jarak kira-kira 1,000 kaki dari lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

