Lebih 40 anggota bomba dikerah padam kebakaran kilang di Gebeng

KUANTAN - Lebih 40 anggota bomba termasuk dari Pertubuhan Kerjasama Kecemasan Gebeng (Gema) dikerahkan bagi membantu memadam kebakaran di sebuah kilang memproses sisa buangan bahan berjadual di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini pada Jumaat.
Kebakaran yang dilaporkan jam 6.30 pagi itu melibatkan buangan bahan berjadual yang berada di dalam kilang berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, bahan minyak RFO (sisa) berkapasiti 200,000 liter dan bahan pelarut 10,000 liter terbakar sepenuhnya.

Menurutnya, bahagian kemasukkan bahan mentah dan proses pencucian pula terbakar kira-kira 80 peratus.
"Bagaimanapun bangunan pejabat utama kilang berkenaan, kawasan tangki simpanan, gudang dan sistem rawatan efluen perindustrian tidak terbakar.
"Kebakaran berlaku dipercayai merebak melalui aliran air longkang dan maklumat yang diterima peringkat awal, bahan yang terbakar berunsur asid," katanya.
Mohd Razam berkata, maklumat awal juga mendapati tiada mangsa terlibat.

Menurutnya, pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dibantu anggota BBP Kuantan, BBP Taman Tas, GEMA, Bantuan Bomba Pelabuhan Kuantan dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan aliran hos sumber air pili bomba dan tangki jentera.
"Kebakaran berjaya dikawal bagaimanapun punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

