[TIDAK RASMI] PRN Johor: Amanah, PKR masing-masing menang satu kerusi

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mempertahankan satu sahaja dari 19 kerusi yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Calonnya, Nazri Abd Rahman menang dalam pertembungan empat penjuru, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 10 malam.
Nazri memperoleh majoriti tipis sebanyak 180 undi mengalahkan pencabarnya, Azman Ismail mewakili Barisan Nasional (BN), Ainie Haziqah Shafii daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Arshed Yahya (Perikatan Nasional-Pas).
Beliau menerima 11,830 undi berbanding Azman (11,650), Arshed (3,789) dan Ainie Haziqah (1,573).
Bagaimanapun, keputusan itu jauh berbeza dengan pencapaian penggal lalu pada PRN Johor 2022 yang ditandingi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Ketika itu, Amanah menang bergaya dengan majoriti selesa sebanyak 2,399 undi, menunjukkan terdapat kemerosotan besar kira-kira 90 peratus.
Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyumbang satu kerusi menerusi calon DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik dengan 41,694 undi mengetepikan pencabarnya dari BN iaitu Teow Chia Ling (35,956); Muda, Rashifa Al-Junied (5,821); Bersama, Nicholas Paul Vincent (2,389) dan Bebas, Wang Wee Szoang (238).
Enam kerusi selebihnya dimenangi oleh DAP, menjadikan komponen PH memperoleh lapan kerusi keseluruhannya untuk PRN Johor ke-16.
Proses pengundian bagi PRN Johor ke-16 berakhir secara rasmi selepas kesemua 1,076 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat jam 6 petang.
Sejak dibuka seawal 8 pagi tadi, proses penutupan pusat mengundi dilakukan secara berperingkat, dengan Balai Raya Pulau Besar di bawah DUN Tenggaroh menjadi lokasi terawal ditutup, iaitu pada 11 pagi tadi.
Setakat 5 petang tadi, sebanyak 67.44 peratus atau lebih 1.8 juta orang dari keseluruhan 2.6 juta pemilih biasa menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
