'Kemenangan ini amanah besar untuk rakyat' - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU - Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 disifatkan sebagai amanah besar yang perlu dipikul dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mandat yang diberikan harus dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang dipilih.
Beliau turut menyifatkan kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras jentera parti selain kepercayaan tinggi yang diberikan rakyat kepada BN.
“Syukur alhamdulillah, BN Johor berjaya memenangi lebih 40 kerusi. Dengan penuh rasa rendah hati, saya mewakili kepimpinan BN Johor mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan mandat yang begitu besar kepada kami.
“Mandat ini adalah satu tanggungjawab. Kepada semua wakil rakyat BN yang dipilih, tugas kita adalah menjaga seluruh Bangsa Johor, sama ada mereka menyokong BN atau sebaliknya.
“Apabila pilihan raya selesai, semua rakyat adalah tanggungjawab kita,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Johor, di sini pada Sabtu.
Jelas Onn Hafiz, semua wakil rakyat BN akan terus turun padang menyantuni rakyat dan berusaha menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi mereka dengan lebih berkesan.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan negeri akan memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli terus mendapat pembelaan serta manfaat daripada dasar yang dilaksanakan.
“Saya juga ingin mengajak seluruh rakyat Johor supaya mengetepikan perbezaan politik selepas tamat pilihan raya dan bersama-sama membangunkan negeri.
“Marilah kita rapatkan saf, buang yang keruh, ambil yang jernih. Musim pilihan raya sudah berakhir. Sekarang adalah masa untuk kita bersatu hati membina Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera demi masa depan Bangsa Johor,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

