PRN Johor: Pelajar di China bersemangat pulang mengundi demi tanggungjawab

BATU PAHAT - Walaupun mempunyai pilihan mengundi secara pos, seorang mahasiswa di sebuah universiti di Chengdu, China memilih menempuh perjalanan jauh pulang ke Yong Peng, dekat sini kerana baginya, pengalaman hadir ke pusat mengundi membawa makna tersendiri.
Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Komunikasi Universiti Sichuan, Chengdu, Yeo Lynn, 26, itu sanggup mengharungi perjalanan hampir lapan jam serta berbelanja kira-kira RM2,000 bagi memastikan dapat menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.
Lynn berkata, beliau tiba di Malaysia pada Rabu selepas mendapat kebenaran daripada pihak universiti bagi menunaikan hak demokrasi sebagai rakyat Malaysia.
"Bagi perjalanan balik ke Yong Peng, saya perlu menempuh perjalanan kira-kira satu jam dari universiti ke lapangan terbang di China, kemudian lima jam dalam kapal terbang sebelum perjalanan dari Kuala Lumpur ke Yong Peng kira-kira dua jam.
"Sebagai pelajar yang berada di luar negara, bukan saya tidak boleh mengundi secara pos tetapi saya ingin melihat dan merasai kemeriahan proses pilihan raya terutamanya ketika beratur untuk mengundi dan lebih teruja apabila melihat calon-calon berkempen,” katanya kepada Bernama hari ini.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, tiket penerbangan sehala mencecah RM1,000, namun beliau menganggap perbelanjaan itu sebagai satu pengorbanan yang berbaloi kerana satu undi mampu memberi kesan terhadap masa depan negara.
Beliau berkata kesedaran mengundi banyak dipengaruhi bapanya, Yeo Sek Hua, 64, yang sentiasa mengingatkan supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi setiap kali pilihan raya berlangsung.
"Saya menyeru rakyat yang layak mengundi supaya tidak mensia-siakan peluang sebagai pemilih kerana ia hanya dilakukan sekali dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Sementara itu, Sek Hua berkata, beliau tidak pernah terlepas daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dan sentiasa menggalakkan anak-anaknya melakukan perkara sama tanpa mengira pilihan parti politik masing-masing.
"Siapa yang mereka pilih, itu hak mereka, yang penting mereka mengundi serta mempunyai jasa kepada negara,” katanya.
Lebih 2.7 juta pemilih yang layak akan mengundi pada PRN Johor ke-16 esok bagi memilih 56 wakil rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
