Isham Jalil sah sertai Pas

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil disahkan menyertai Pas selepas mengisi borang keahlian dan mendaftar sebagai ahli parti seumur hidup parti itu.
Perkara itu dikongsikan Ketua Pemuda Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam, Mohamed Sukri Omar menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut Mohamed Sukri, beliau menerima mesej WhatsApp daripada Isham pada malam Jumaat yang memaklumkan mengenai penyertaannya ke dalam parti itu.
"Malam semalam, saya menerima WhatsApp daripada Saudara Isham Jalil yang memaklumkan beliau mengisi borang keahlian Pas serta mendaftar sebagai Ahli Pas seumur hidup.
"Keputusan ini lahir daripada keyakinan beliau untuk memilih Pas sebagai wadah siasah dalam memperjuangkan serta mempertahankan agama, bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata, Pas sentiasa terbuka kepada sesiapa yang ikhlas untuk berbakti dan menyumbang kepada perjuangan parti.
Katanya, perjuangan Pas dibina bukan atas dasar kepentingan peribadi, sebaliknya berteraskan akidah, prinsip dan tanggungjawab memimpin masyarakat dengan nilai Islam.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri turut mengalu-alukan penyertaan Isham ke dalam Pas.
"Semoga ALLAH SWT mengurniakan kekuatan, keikhlasan dan istiqamah kepada beliau serta seluruh anggota Pas untuk terus memikul amanah perjuangan, mempertahankan Islam, memperkukuh perpaduan ummah dan membina masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.
"Perjuangan ini tidak diukur dengan siapa yang datang paling awal, tetapi dengan siapa yang tetap istiqamah hingga ke akhirnya, selamat datang ke saff perjuangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


