DAP kegelisahan kitar semula naratif 'gelombang hijau' - Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Pas menyifatkan DAP dan Pakatan Harapan (PH) berada dalam kegelisahan apabila kembali memainkan naratif 'gelombang hijau' bagi menakutkan pengundi terutama bukan Melayu menjelang kemuncak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, strategi itu bukanlah perkara baharu berikutan ia pernah digunakan secara agresif pada Pilihan Raya Negeri 2023 dengan melabelkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu ancaman.
"Jika pada pertama kali ia digunakan, mungkin ia memberi impak namun suasana politik Johor berbeza apabil rakyat negeri dan negara secara keseluruhannya semakin matang.
"Dengan maklumat semasa yang lebih pantas serta bersandarkan kepada pengalaman politik beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadikan rakyat lebih berhati-hati menerima naratif ketakutan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurutnya, perbezaan politik dengan parti tidak sepatutnya diterjemahkan seolah-olah Pas adalah ancaman kepada kepada masyarakat bukan Melayu.
Beliau berkata, dakwaan itu juga dilihat tidak berpijak pada realiti angka berikutan parti itu hanya bertanding di 11 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
"Barisan Nasional (BN) pula yang merupakan rakan DAP-PH di kerajaan Persekutuan bertanding di semua kerusi.
"Dengan jumlah kerusi yang ditandingi Pas, adalah tidak munasabah untuk menggambarkan Pas seolah-olah berada di ambang mengambil alih kerajaan negeri secara bersendirian dan mengubah keseluruhan wajah Johor," ujarnya.
Tuan Ibrahim berkata, pengundi Johor temasuk masyarakat Tionghua kini sudah celik kerana sudah melihat bagaimana janji-janji PH yang tidak semuanya diterjemahkan dan boleh duduk bersama dengan UMNO-Barisan Nasional (BN) atas nama kestabilan.
"Di sinilah naratif menakutkan Pas menjadi semakin lemah apabila parti itu mentadbir Kelantan, Terengganu, Kedah tanpa menganggu kehidupan masyarakat bukan Islam.
"Rumah ibadat masih wujud, aktiviti ekonomi berjalan, sambutan perayaan berlangsung, dan masyarakat pelbagai kaum terus menjalani kehidupan masing-masing," katanya.
Beliau menggesa DAP-PH memberi tumpuan kepada tawaran dasar dan penyelesaian terhadap isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pengangkutan serta kesejahteraan, berbanding memainkan naratif 'gelombang hijau'.
"Malaysia ialah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, dalam masa yang sama menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing.
"Kerangka Perlembagaan ini menuntut kebijaksanaan politik, bukan kempen menakutkan rakyat. Politik yang matang sepatutnya mendidik rakyat untuk berbeza pendapat secara aman, bukan menanam rasa curiga antara kaum dan agama," ujarnya lagi.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menasihatkan bahawa politik ketakutan boleh mencetuskan panik sementara dan seterusnya merosakkan kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi dalam jangka panjang.
"Jika sesebuah parti benar-benar yakin dengan dasar dan kemampuannya, ia tidak perlu menakut-nakutkan rakyat.
"Ia hanya perlu menjelaskan apa yang mahu dibuat, bagaimana mahu dilaksanakan dan mengapa rakyat harus percaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
