Gelombang Hijau jadi senjata lama DAP-PH yang terdesak

PADA hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, DAP-PH kelihatan kembali kepada senjata lama: menakutkan pengundi dengan naratif “Gelombang Hijau”.
Istilah ini digunakan berulang kali untuk menggambarkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah ancaman kepada masyarakat bukan Melayu, kebebasan beragama dan masa depan Malaysia yang majmuk.
Strategi ini bukan baharu. Dalam PRN 2023, naratif yang sama pernah digunakan secara agresif untuk mengekang sokongan kepada Pas dan PN.
Ia dibina atas satu gambaran mudah: jika Pas menang, maka masyarakat bukan Islam akan terancam. Kini, menjelang kemuncak kempen di Johor, pendekatan yang sama cuba dihidupkan semula.
Namun, suasana politik Johor tidak sama seperti sebelumnya. Pengundi semakin matang. Maklumat semakin terbuka. Kaum bukan Melayu juga sudah melihat bagaimana janji politik boleh berubah selepas pilihan raya.
Mereka tidak lagi mudah digerakkan hanya dengan slogan ketakutan atau sentimen lama yang diulang tanpa bukti kukuh.
Apa yang lebih membimbangkan ialah naratif “Gelombang Hijau” ini sangat hampir dengan permainan sentimen agama dan kaum. DAP-PH sering mendakwa menolak politik 3R, tetapi apabila berdepan Pas, istilah dan pendekatan yang digunakan seolah-olah sengaja membina keresahan terhadap parti Islam.
Lebih pelik, hampir tiada teguran tegas daripada kerajaan apabila sentimen sebegini digunakan oleh tokoh DAP-PH. Seolah-olah ada pihak yang kebal apabila sentimen itu ditujukan kepada Pas.
Kenyataan bahawa “Pas bukan Islam dan Islam bukan Pas” pada asasnya bukan perkara baharu. Pas sendiri tidak pernah mendakwa bahawa Pas ialah Islam secara mutlak.
Islam jauh lebih besar daripada mana-mana parti politik. Namun, Pas ialah parti yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan dan berusaha membawa nilai Islam dalam ruang demokrasi. Perbezaannya jelas: Pas bukan Islam, tetapi Pas memperjuangkan Islam melalui saluran politik yang sah.
Jika DAP-PH mahu menolak Pas atas alasan dasar ekonomi, pendekatan pentadbiran, rekod kerajaan negeri, isu tadbir urus atau perbezaan polisi, maka berhujahlah atas asas itu. Politik matang memerlukan perbahasan dasar.
Tetapi apabila Pas digambarkan sebagai ancaman kepada masyarakat bukan Islam, maka ia bukan lagi politik membina negara. Itu politik menakutkan rakyat dan menanam curiga antara kaum serta agama.
Kegelisahan DAP-PH semakin jelas apabila tokoh-tokoh lama dan kontroversi kembali dibawa ke pentas kempen. Tan Sri Lim Kit Siang yang sudah lama berundur daripada politik aktif kembali muncul untuk membantu kempen.
Begitu juga kemunculan Hew Kuan Yau atau “Superman Hew”, tokoh yang pernah dikaitkan dengan ucapan politik keras dan provokatif. Kehadiran tokoh-tokoh seperti ini menunjukkan DAP masih bergantung kepada emosi lama untuk menggerakkan penyokongnya.
DAP sedar bahawa sokongan bukan Melayu, khususnya pengundi Tionghua, tidak boleh lagi dianggap tetap seperti dahulu. Pengalaman politik di Sabah dan beberapa negeri lain menunjukkan pengundi mula menilai DAP dengan lebih kritikal.
Sebab itu naratif “Gelombang Hijau” cuba dimainkan semula. Ia digunakan untuk merayu pengundi keluar mengundi atas rasa takut, bukan atas keyakinan terhadap tawaran dasar PH.
Masalahnya, naratif ini semakin lemah apabila diuji dengan realiti. Pas mentadbir Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Di negeri-negeri tersebut, masyarakat bukan Islam masih hidup seperti biasa, berniaga, beribadat, menyambut perayaan dan menjalankan aktiviti harian.
Jika benar Pas ancaman kepada kebebasan agama, negeri-negeri ini sepatutnya menjadi bukti paling jelas. Tetapi realitinya tidak begitu.
Di Johor, dakwaan bahawa Pas mengancam masyarakat bukan Melayu juga tidak munasabah dari sudut angka. PAS hanya bertanding 11 kerusi daripada 56 kerusi DUN Johor.
Bagaimana mungkin Pas yang bertanding di 11 kerusi digambarkan seolah-olah mampu mengambil alih kerajaan negeri secara bersendirian dan mengubah seluruh wajah Johor?
Lebih menarik, BN yang menjadi rakan DAP-PH dalam Kerajaan Persekutuan bertanding di semua 56 kerusi. Maka, jika DAP-PH benar-benar mahu bercakap tentang siapa berpotensi membentuk kerajaan negeri, mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa Pas bukan parti yang bertanding paling banyak kerusi.
Menakutkan pengundi dengan Pas dalam keadaan ini lebih kelihatan sebagai taktik emosi berbanding analisis politik yang jujur.
Naratif “Gelombang Hijau” juga cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada soalan yang lebih penting: apakah tawaran ekonomi PH untuk Johor? Apakah rekod mereka menunaikan manifesto?
Apakah penyelesaian mereka terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pengangkutan dan kebajikan rakyat? Inilah isu sebenar yang patut dijawab dalam kempen pilihan raya, bukan sekadar menakutkan rakyat dengan bayangan yang dibina secara berulang.
Pas tidak mengajak rakyat bermusuh dengan sesiapa. Pas mengajak umat Islam berpegang kepada agama, memperkukuh akhlak, menjaga integriti dan membawa nilai murni dalam pentadbiran.
Jika seruan kepada Islam, akhlak dan nilai murni dianggap ekstrem, maka masalahnya bukan pada Pas, tetapi pada cara DAP-PH melihat politik Islam.
Persoalannya mudah: adakah orang Melayu Islam yang mahu mengamalkan agama dengan lebih tegas perlu dilihat sebagai ancaman? Adakah membawa nilai agama dalam kehidupan bernegara secara automatik dianggap ekstrem?
Malaysia meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, dalam masa yang sama menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing. Kerangka Perlembagaan ini menuntut kebijaksanaan politik, bukan kempen menakut-nakutkan rakyat.
Parti yang benar-benar yakin dengan perjuangan sendiri tidak perlu menakutkan pengundi. Ia hanya perlu menjelaskan dasar, menunjukkan rekod dan membuktikan kemampuan.
Apabila DAP-PH kembali menggunakan naratif “Gelombang Hijau”, ia sebenarnya menyerlahkan kegelisahan mereka sendiri. Mereka kelihatan tidak cukup yakin bahawa tawaran, rekod dan perjuangan mereka mampu berdiri atas merit sendiri.
Politik ketakutan mungkin boleh mencetuskan panik sementara. Namun dalam jangka panjang, ia merosakkan kepercayaan rakyat dan menanam syak wasangka antara kaum serta agama. Johor tidak memerlukan politik yang menakutkan rakyat.
Johor memerlukan politik yang matang, berfakta dan berani menawarkan penyelesaian sebenar. Maka, tindakan DAP-PH memainkan semula isu “Gelombang Hijau” bukan bukti Pas berbahaya; ia lebih jelas membuktikan DAP-PH sedang gelisah dan tidak yakin dengan perjuangan mereka sendiri.
*Penulis ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yserta pemerhati politik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
