'Pas mungkin diperlekeh tapi kami pilih jujur' - Annuar

Annuar
Annuar
A
A
A

SHAH ALAM - Pas kekal bertekad untuk memperjuangkan penyatuan dan perpaduan khususnya dalam kalangan umat Islam demi memenuhi tuntutan agama serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan masyarakat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendirian itu bukan dibuat demi kepentingan parti semata-mata, sebaliknya kerana penyatuan merupakan tuntutan yang diperintahkan oleh ALLAH SWT.

Menurutnya, Pas memilih untuk bersikap jujur dan berterus terang dalam setiap pendirian yang diambil termasuk berkaitan rundingan atau sokongan terhadap mana-mana pihak.

"Pas mungkin diperlekeh, sokongan Pas mungkin tidak dihargai dan Pas mungkin dianggap negatif oleh mereka yang berbangga dengan kuasa.

"Namun Pas memilih untuk jujur dan berterus terang, jika berunding, kami kata berunding, jika menyokong, kami kata menyokong. Kami tidak mengambil sikap lain di depan, lain di belakang," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.

Annuar berkata, Pas turut membawa suara hati rakyat yang semakin menolak sikap sombong, ego serta penyalahgunaan kuasa termasuk amalan rasuah dan penyelewengan.

Menurutnya, parti itu tampil memperjuangkan perkara yang diinginkan rakyat dan percaya sentimen tersebut semakin jelas dirasai khususnya dalam kalangan anak muda di Johor.

"Kita dapat merasakan denyut hati rakyat Johor terutama anak muda, mereka diam dan tidak banyak berbicara.

"Tetapi jangan salah sangka, gelombang mereka menolak keburukan, dalam senyap tetapi mampu meledak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Onn Hafiz dilapor berkata, Pas tidak akan menjadi sebahagian kerajaan Johor jika BN kembali memerintah dan seandainya beliau dilantik semula ke jawatan tertinggi itu.

Pengerusi BN Johor itu berkata, beliau memberi jaminan kepada rakyat Johor bahawa Pas sama sekali tidak akan menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan ‘dalam apa jua keadaan sekalipun’.

Onn Hafiz turut menegaskan, dakwaan Pas akan menjadi sebahagian kerajaan negeri hanyalah naratif politik bertujuan mengelirukan masyarakat Cina di Johor, menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.

Ketua UMNO Johor itu juga menafikan telah bersetuju memperuntukkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan kepada Pas sebagai pertukaran untuk parti berkenaan bertanding 11 kerusi sahaja pada PRN kali ini.

Pada Rabu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, Perikatan Nasional (PN) terutama Pas bersedia menjalin kerjasama termasuk menyumbang kerusi kepada UMNO sekiranya parti berkenaan tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri pada PRN.

PRN Johor 2026 menyaksikan sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan jumlah minimum 29 kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!