Jersi tiruan Piala Dunia dijual hingga RM100, pelancong jadi sasaran

Antara gerai penjualan jersi disyaki tiruan di Jalan Petaling yang diserbu KPDN Kuala Lumpur pada Jumaat.
Antara gerai penjualan jersi disyaki tiruan di Jalan Petaling yang diserbu KPDN Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jersi tiruan bola sepak Piala Dunia dikesan dijual pada harga tidak munasabah kepada pelancong asing di Jalan Petaling di sini bagi meraih keuntungan berlipat ganda.

Kegiatan yang dipercayai didalangi warga tempatan dengan menggajikan pekerja asing itu bagaimanapun terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur pada Jumaat.

Semasa serbuan dijalankan, terdapat antara pekerja premis warga asing yang melarikan diri.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, operasi bermula pada jam 6 petang dengan menyerbu lima premis, iaitu sebuah stor dan empat gerai.

Menurutnya, sebanyak 5,403 helai jersi disyaki tiruan bernilai RM270,150 disita.

"Enam pekerja warga Bangladesh dan Myanmar, termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, telah ditahan.

"Dipercayai warga asing terbabit berperanan sebagai pekerja dengan menerima gaji," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil temu bual dengan rata-rata pelancong yang datang mendapati jersi terbabit dijual pada harga yang tinggi.

Tambahnya, kepada warga tempatan, jersi itu dijual pada harga sekitar RM50 sehelai, namun kepada pelancong asing harganya boleh mencecah lebih RM100.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shahran (dua dari kiri) menunjukkan antara jersi disyaki tiruan dirampas KPDN di Jalan Petaling pada Jumaat.
Mohd Shahran (dua dari kiri) menunjukkan antara jersi disyaki tiruan dirampas KPDN di Jalan Petaling pada Jumaat.

"Pemeriksaan di gerai-gerai jualan mendapati jersi yang dijual terdiri daripada gred A dan B, manakala stor turut menempatkan mesin khas untuk mencetak nama serta nombor," ujarnya.

Beliau berkata, kegiatan haram itu mampu menjual sehingga 100 helai jersi sehari yang membawa pulangan kira-kira RM5,000 ketika musim Piala Dunia.

"Siasatan awal mendapati premis yang diserbu melibatkan sindiket berbeza dan tindakan akan diambil untuk mengesan pemilik premis, penyewa serta pihak lain yang terlibat," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan pengunjung Jalan Petaling agar melaporkan kepada KPDN sebarang penjualan barang tiruan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!