Hujan mungkin beri kesan, Muhyiddin yakin ramai tetap keluar mengundi

MUAR - Hujan berterusan dijangka sedikit sebanyak menjejaskan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, namun tidak mustahil mampu mencapai 70 peratus berikutan kesesakan trafik dilaporkan dengan ramai pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan cuaca tidak seharusnya menjadi alasan untuk rakyat tidak keluar mengundi kerana tanggungjawab memilih kerajaan negeri merupakan satu kewajipan.
"Walaupun hujan dan basah sedikit, yang penting dalam pilihan raya ini kita kena mengundi.
"Jadi saya menyeru kepada semua yang masih belum keluar mengundi pagi ini, walaupun hujan, supaya segera keluar mengundi dan berikan sokongan kepada mana-mana calon yang menjadi pilihan masing-masing," katanya selepas selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar di sini pada Sabtu.
Muhyiddin bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di pusat mengundi sekitar jam 10 pagi dan selesai membuang undi lima minit kemudian.
Muhyiddin berharap proses pengundian berjalan lancar sehingga tamat dan Johor akhirnya memperoleh sebuah kerajaan negeri yang dipilih rakyat.
“Saya tidak tahu sama ada hujan ini akan berterusan hingga petang kerana ia mungkin memberi sedikit kesan kepada peratusan keluar mengundi.
"Tetapi kalau saya lihat semangat orang ramai, semalam pun trafik sesak, maknanya ramai yang pulang ke kampung. Saya pergi bersarapan di sebuah restoran pagi tadi, ramai yang beritahu mereka balik dari Kuala Lumpur untuk mengundi," katanya.
Justeru, katanya, walaupun hujan sedikit sebanyak boleh memberi kesan, beliau berharap cuaca akan kembali baik dan peratusan keluar mengundi mampu melepasi atau sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

