Dua beradik pilih tanam timun

Alif Irfan (kiri) dan Ahmad Alimi memetik timun yang sudah ranum.
Alif Irfan (kiri) dan Ahmad Alimi memetik timun yang sudah ranum.
A
A
A

KOTA BHARU – Ketika ramai belia memilih bekerja di bandar, dua beradik dari Sri Kulim di sini mengambil haluan berbeza apabila menjadikan tanaman timun menggunakan sistem fertigasi sebagai kerjaya dan sumber pendapatan.

Ahmad Alimi Badrul Hisyam, 19, berkata, minat terhadap bidang pertanian dipupuk sejak di bangku sekolah apabila sering membantu bapanya menguruskan tanaman selepas tamat sesi persekolahan.

Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, dia mula serius menceburi bidang pertanian ketika berada di Tingkatan Empat dan meneruskan usaha selepas menamatkan persekolahan pada tahun 2024.

“Saya minat bertani sejak kecil kerana selalu mengikut ayah ke kebun. Dari situ saya belajar sedikit demi sedikit sehingga yakin untuk mengusahakan tanaman sendiri.

“Ramai anak muda memilih bekerja di tempat lain tetapi saya lebih selesa bekerja sendiri kerana dapat mengembangkan minat dan melihat hasil usaha sendiri,” katanya ketika ditemui di kebunnya pada Selasa.

Menurutnya, mereka pada mulanya membina struktur tanaman menggunakan buluh, namun beralih kepada besi pada 2025 selepas binaan asal runtuh akibat banjir.

Katanya, projek fertigasi itu dibangunkan dengan modal kira-kira RM20,000 selain menerima bantuan Pejabat Pertanian negeri seperti rangka besi, peralatan dan tangki air.

“Fertigasi lebih sesuai kerana tanaman diletakkan kira‑kira 0.8 meter dari tanah menggunakan polibeg, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan akibat banjir.

“Kaedah ini juga memudahkan pengurusan tanaman kerana sistem pengairan lebih teratur dan sesuai untuk tanaman seperti timun serta lada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Timun ditanam dua beradik melalui projek fertigasi.
Timun ditanam dua beradik melalui projek fertigasi.

Ahmad Alimi berkata, kebunnya kini mempunyai 1,500 beg semaian timun dan merancang menambah sehingga 2,000 beg berdasarkan ruang yang ada.

Katanya, hasil pengeluaran timun musim ini dianggarkan mencecah dua tan dengan tempoh tuaian bermula kira-kira sebulan selepas penanaman.

Sementara itu, abangnya, Alif Irfan, 26, berkata, cabaran utama dalam mengusahakan tanaman ialah faktor cuaca yang tidak menentu selain serangan penyakit dan perosak.

"Timun memerlukan cuaca kering kerana hujan berlebihan boleh menyebabkan akar rosak serta bunga mudah gugur," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!