​'Rakyat bukan nilai siapa potong reben' - Penganalisis

Sahar Sa’di
Sahar Sa’di
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Nilai sesuatu pembangunan dan hubungan diplomatik di peringkat negeri seharusnya diukur berdasarkan manfaat jangka panjang kepada rakyat, bukannya dijadikan sebagai bahan publisiti atau naratif politik semata-mata.

​Ahli Antropologi Sosial dan Pembangunan Masyarakat, Dr. Sahar Sa’di Hashim berkata, perkara itu jelas kelihatan menerusi tindakan kerajaan negeri yang kini memanfaatkan Jambatan Angkat (Drawbridge) Terengganu sebagai aset strategik, termasuk ketika menerima kunjungan delegasi Duta Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini.

​Beliau yang juga Penganalisis Politik berkata, tindakan mempromosikan mercu tanda berkenaan membuktikan wujudnya semangat kesinambungan pentadbiran yang matang demi kepentingan negeri.

​"Drawbridge sebenarnya dibina ketika pentadbiran kerajaan terdahulu. Meskipun ada ketika dahulu projek ini menjadi sasaran kritikan, kerajaan yang memerintah hari ini berhak dan wajar memanfaatkan segala aset yang diwarisi demi kepentingan rakyat.

​"Ini membuktikan bahawa nilai sesuatu pembangunan akhirnya diukur melalui manfaatnya kepada rakyat, bukan berdasarkan warna politik pihak yang mencetuskannya," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

​Mengulas mengenai lawatan delegasi EU ke Terengganu, Dr. Sahar menjelaskan bahawa program sedemikian bukanlah suatu perkara luar biasa atau pengiktirafan eksklusif yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

​Jelasnya, Delegasi EU ke Malaysia sememangnya kerap melaksanakan lawatan kerja, dialog, dan program kerjasama di pelbagai negeri lain seperti Perak, Johor, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak yang memfokuskan kepada aspek ekonomi, perdagangan, pendidikan, serta pembangunan lestari.

​"Oleh itu, lawatan ke Terengganu perlu dilihat sebagai kesinambungan kepada jaringan diplomasi dan kerjasama strategik EU di Malaysia, bukannya suatu fenomena baharu.

​"Nilai sebenar sesuatu lawatan antarabangsa tidak hanya terletak pada kehadiran delegasi atau simbolik protokol, tetapi pada keupayaan menterjemahkannya kepada hasil yang konkrit seperti peningkatan pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan, dan peningkatan kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

​Dalam pada itu, beliau tidak menafikan bahawa kedudukan Menteri Besar Terengganu selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menjadikan negeri berkenaan kini lebih mendapat perhatian dalam landskap politik semasa.

​Bagaimanapun, beliau menegaskan persoalan utama yang perlu diberi perhatian adalah impak ekonomi yang ditinggalkan selepas rombongan diplomatik tersebut pulang ke ibu negara.

​"Persoalannya, adakah lawatan ini akan menghasilkan pelaburan baharu, peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, dan peningkatan sektor pelancongan? Atau sekadar menjadi bahan publisiti politik yang berakhir dengan gambar kenangan?

​"Dalam politik yang matang, kejayaan negeri tidak sepatutnya dimonopoli oleh mana-mana parti. Rakyat akhirnya tidak menilai siapa yang memotong reben atau siapa yang bergambar paling hadapan, sebaliknya menilai siapa yang mampu membawa kemajuan serta meninggalkan legasi yang benar-benar memberi manfaat kepada generasi akan datang," katanya.

Pada 6 Julai lalu, Terengganu menerima kunjungan 15 delegasi berkenaan yang diperkenan menghadap Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu sebelum menyertai taklimat khas di Wisma Darul Iman.

Rombongan itu disertai para duta dan wakil diplomatik dari 15 negara Eropah antaranya Croatia, Romania, Belanda, Lithuania, Ireland, Republik Czech, Sweden, Finland, Belgium, Austria, Jerman, Itali, Denmark, Slovakia dan Sepanyol.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!