Kadar keluar mengundi dijangka tinggi, saingan kian sengit

Kecenderungan kadar keluar mengundi pada PRN Johor kali ini dijangka lebih tinggi. Gambar kecil: Mazlan
Kecenderungan kadar keluar mengundi pada PRN Johor kali ini dijangka lebih tinggi. Gambar kecil: Mazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kecenderungan kadar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dijangka lebih tinggi, sekali gus mencetuskan persaingan lebih sengit antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, berdasarkan pemerhatiannya di Johor Bahru, parti-parti politik kini memberi tumpuan kepada pengundi atas pagar yang disifatkan sebagai kumpulan penentu kerana lazimnya hanya membuat keputusan pada saat-saat akhir.

Menurutnya, pengundi yang telah mempunyai kecenderungan terhadap parti tertentu dilihat sudah membuat pilihan masing-masing, manakala usaha kempen kini lebih tertumpu kepada kelompok pengundi yang masih belum membuat keputusan.

"Saya kebetulan memang berada di Johor Bahru dan telah berjalan semalam melihat situasi semasa. Parti-parti politik sedang fokus terutamanya kepada pengundi atas pagar kerana mereka adalah kumpulan yang akan membuat keputusan pada saat-saat akhir.

"Pengundi yang sudah membuat keputusan terhadap parti politik masing-masing nampaknya sudah berpuas hati dengan pilihan mereka," katanya ketika ditemui Sinar Harian di UTM pada Jumaat.

Mazlan berkata, berdasarkan trend yang diperhatikan sejak beberapa hari kebelakangan ini, terdapat kecenderungan rakyat untuk keluar mengundi.

Malah, kadar keluar mengundi awal yang dilaporkan melebihi 90 peratus memberi gambaran bahawa peratusan keluar mengundi pada Sabtu juga berkemungkinan tinggi.

"Ini akan mewujudkan keadaan yang cukup menarik. Persaingan parti-parti politik dalam PRN Johor tahun ini dilihat sengit," ujar beliau.

Ditanya mengenai jangkaan keputusan pilihan raya, beliau berkata, BN masih mempunyai kelebihan sebagai penyandang terutama di kawasan majoriti Melayu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, keadaan itu dipengaruhi tindakan Perikatan Nasional (PN) yang tidak meletakkan calon di 23 kerusi, sekali gus dijangka membolehkan BN mempertahankan kerusi berkenaan dengan lebih mudah.

"Bagaimanapun, apabila ada kecenderungan untuk keluar mengundi yang tinggi, ada kemungkinan PH boleh memberi saingan yang sengit kepada BN terutama di kawasan campuran, bandar dan separa bandar.

"Persaingan sengit yang saya maksudkan adalah antara BN dan PH. Parti-parti lain dilihat agak kurang berupaya memberi cabaran terutama untuk memenangi kerusi," ujarnya.

Beliau berkata, peluang PN pula dilihat semakin terjejas susulan perpecahan dalaman gabungan itu apabila Pas menyatakan tidak akan membantu calon Bersatu.

"Walaupun Pas dan Bersatu masih berada di bawah PN, Pas menyatakan tidak akan membantu Bersatu. Sudah pasti Bersatu akan bertindak balas dengan tidak menyokong calon-calon Pas.

"Sebab itu saya melihat peluang hanya kepada BN dan PH sahaja dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Mazlan turut berpandangan faktor pengundi Cina boleh memberi impak kepada persaingan apabila beberapa pertubuhan termasuk Dong Jiao Zong menggesa masyarakat Cina keluar mengundi beramai-ramai.

Menurutnya, berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini, pengundi Cina lazimnya lebih cenderung menyokong PH.

Bagaimanapun, beliau percaya sebahagian besar pengundi yang keluar mengundi juga terdiri daripada pengundi atas pagar yang akan menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Pentadbiran Datuk Onn Hafiz agak bagus dan kita nampak tidak banyak isu.

"Jadi, dari sudut kestabilan dan penyampaian perkhidmatan, faktor itu mungkin dapat diterima sebahagian besar pengundi yang akan pulang mengundi secara besar-besaran," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!