PRN Johor: Isu klinik uzur, gangguan bekalan air di Rengit dapat perhatian PM

BATU PAHAT - Masalah klinik uzur dan gangguan bekalan air di Rengit mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan sebagai sebuah negeri yang maju, isu asas membabitkan kemudahan kesihatan dan bekalan air bersih tidak sepatutnya masih berlaku di Johor dan perlu ditangani segera.
"Kita ingat klinik itu nak mengubat orang-orang uzur, ini klinik pula yang uzur," seloroh beliau ketika berucap pada program Grand Finale DUN Rengit di Dewan Kampung Bumiputera Dalam, Rengit di sini pada malam Khamis.
Hadir sama bekas ADUN Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi; Ahli Parlimen Sri Gading merangkap Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan dan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Yazid Abu Bakar.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'
DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM
Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan
'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'
PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?
PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin
PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan - Aminuddin
Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu
Anwar berkata, keperluan asas seperti bekalan air, rumah, sekolah dan klinik adalah perkara utama yang diperlukan rakyat berbanding projek pembangunan berskala besar.
"Rakyat bukan minta bangunan tinggi atau lebuh raya. Mereka minta perkara asas, air, kemudahan kesihatan dan pendidikan yang baik.
"Kalau negeri yang kaya masih ada masalah air, ini sesuatu yang perlu kita beri perhatian," katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan memberi keutamaan kepada penyelesaian isu rakyat di peringkat akar umbi termasuk kawasan pedalaman dan kampung yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pegawai kerajaan serta pemimpin masyarakat supaya menjalankan amanah dengan baik dan tidak menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Katanya, setiap pemimpin perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai tanggungjawab utama.
"Saya tidak lupa asal-usul saya. Dahulu saya bukan hidup senang. Sebab itu bila diberi amanah, saya tahu tanggungjawab kita adalah menjaga rakyat yang susah dan tersisih," katanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa rakyat supaya berani membawa perubahan dengan memilih wakil rakyat yang mampu menyuarakan masalah mereka dan bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi memastikan pembangunan dapat disalurkan dengan berkesan.
Beliau berkata, masih banyak perkara perlu diperbaiki termasuk sekolah, kemudahan kampung, peluang ekonomi dan perkhidmatan asas demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Masalah masih banyak. Kita tidak kata semua sudah selesai, tetapi kita sedang berusaha menyelesaikannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

