PRN Negeri Sembilan: Anwar umum calon PH Selasa depan

Aminuddin (tiga dari kanan) merasmikan majlis Penyampaian Geran Khas Kepada KRT Bagi Tahun 2026.
Aminuddin (tiga dari kanan) merasmikan majlis Penyampaian Geran Khas Kepada KRT Bagi Tahun 2026.
A
A
A

SEREMBAN - Senarai calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini akan diumumkan Selasa depan.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, senarai calon tersebut akan diumumkan di Kuala Pilah oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau bagaimanapun masih berteka-teki mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandinginya.

"Saya tiada apa-apa komen lagi. Saya pun tidak tahu, tunggu 14 Julai nanti," katanya ringkas ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Khas Kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Negeri Sembilan Bagi Tahun 2026 di sini pada Khamis.

Ditanya berkenaan sesetengah individu yang telah pun memperkenalkan dirinya sebagai calon PH, beliau berkata, ia terpulang kepada masing-masing, namun sebaiknya menunggu pengumuman rasmi minggu depan.

"Tunggu pengumuman daripada presiden, itu yang paling tepat sekali. Nasihat saya kepada semua bekerjalah ke arah kemenangan," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan beliau yang juga Menteri Besar menyampaikan geran khas berjumlah keseluruhan RM342,000 kepada 342 jawatankuasa KRT di seluruh Negeri Sembilan.

Ujarnya, geran berkenaan merupakan manifestasi keyakinan kerajaan negeri terhadap keupayaan dan kredibiliti kepimpinan KRT dalam merancang serta melaksanakan program-program yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

"Saya berharap geran yang diterima ini dimanfaatkan dengan penuh amanah, berhemah dan telus.

Artikel Berkaitan:

"Gunakanlah setiap ringgit yang diperuntukkan untuk melaksanakan program yang mampu meninggalkan kesan positif kepada komuniti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!