SPRM bentang lima syor perkukuh tatakelola operasi loji insinerator

Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan (dua kanan) menyaksikan dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara KPKT, JPSPN dan SWCorp Malaysia yang ditandatangani di pejabat KPKT di Putrajaya pada Khamis
Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan (dua kanan) menyaksikan dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara KPKT, JPSPN dan SWCorp Malaysia yang ditandatangani di pejabat KPKT di Putrajaya pada Khamis
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan lima syor penambahbaikan tatakelola bagi memperkukuh pengurusan operasi loji insinerator yang dikendalikan kementerian dan agensi berkaitan.

Syor yang dikemukakan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM itu melibatkan aspek pengoperasian dan penyelenggaraan sisa pepejal serta pembersihan awam di loji insinerator.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan loji insinerator itu dikendalikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

"Antara cadangan yang dikemukakan kepada KPKT ialah memastikan pematuhan terhadap peruntukan Seksyen 6(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Seksyen 17(1) Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 673) oleh JPSPN dan SWCorp Malaysia," katanya.

Menurutnya, selain itu, kementerian berkenaan turut dicadangkan melaksanakan pengawalseliaan yang lebih efisien dan sistematik terhadap pengurusan kontrak SWCorp Malaysia menerusi penubuhan jawatankuasa naziran.

"Bagi JPSPN dan SWCorp Malaysia pula, penambahbaikan yang dicadangkan melibatkan proses permohonan pengalihan sisa pepejal ke fasiliti alternatif yang perlu didokumentasikan dalam prosedur operasi standard (SOP).

"SOP tersebut kemudiannya dicadangkan untuk diperluaskan kepada semua pejabat SWCorp di negeri-negeri yang menguatkuasakan Akta 672 bagi dijadikan rujukan standard dalam pelaksanaan proses kerja berkaitan," katanya.

Kesemua syor itu telah disampaikan oleh pegawai BPT SPRM, Nurhasmah Mohamed Kassim dan telah disambut baik semua pihak terlibat yang memberikan komitmen dalam memperkukuh tadbir urus serta menjadikan pengurusan kontrak yang lebih telus.

Persetujuan itu dizahirkan menerusi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani bersama antara Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah JPSPN, Datuk Mohd Azhar Abd Hamid dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp Malaysia, Syahrul Nizam Saleh.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Timbalan Pengarah III BPT, Norazlina Abd Rahim, Setiausaha Bahagian KPKT, Rizawati Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah JPSPN, Muhamad Zaini Hasnan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!