PRN Negeri Sembilan: Polis kesan 26 lokasi panas

SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan mengenal pasti sebanyak 26 lokasi panas (hotspot) dan 15 lokasi 'flashpoint' yang berpotensi berlaku kejadian tidak diingini sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lokasi berkenaan dikenal pasti berdasarkan penilaian serta pengalaman mengendalikan pilihan raya sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, senarai itu bersifat dinamik dan boleh berubah bergantung kepada situasi semasa dan calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya ini.
"Kita akan menunggu proses penamaan calon pada 18 Julai ini. Selepas senarai calon dimuktamadkan, kita akan membuat penilaian lanjut terhadap setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyusun perancangan keselamatan yang lebih terperinci.
"Mengikut rekod, sebanyak (11) lokasi dikenal pasti di daerah Seremban, masing-masing (5) di Jempol dan Tampin, (3) di Nilai serta (2) di Rembau," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, polis kini berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi PRN ini menerusi pelbagai persiapan rapi termasuk aspek keselamatan, kawalan lalu lintas, pemantauan aktiviti kempen, penguatkuasaan undang-undang dan sebarang kemungkinan sepanjang tempoh pilihan raya.
Ujarnya, seramai 4,800 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi memastikan segala proses berjalan lancar.
"Kita juga menerima bantuan seramai 1,373 pegawai dan anggota daripada Bukit Aman yang akan ditempatkan di pusat-pusat mengundi.
"Bantuan mereka akan digerakan bermula tempoh berkempen sehingga hari pengundian dan selepas keputusan diumumkan, bergantung kepada keperluan serta situasi semasa,"katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, pihaknya turut menghantar 700 pegawai dan anggota bagi membantu Kontinjen Johor mengendalikan PRN Johor yang berlangsung Sabtu ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) menetapkan 18 Julai ini untuk proses penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan manakala hari pengundian pada 1 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

