96,013 pelajar Tingkatan 6 terima BAP berjumlah RM14.4 juta

PUTRAJAYA – Seramai 96,013 pelajar Tingkatan 6 di seluruh negara akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM14.4 juta pada tahun ini, sekali gus meneruskan komitmen kerajaan memperluaskan bantuan kewangan kepada pelajar prauniversiti.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, daripada jumlah tersebut, 52,810 merupakan pelajar Tingkatan 6 baharu yang mendaftar pada 8 Jun lalu, manakala selebihnya ialah pelajar sedia ada.
Menurut kementerian itu, pelajar Tingkatan 6 baharu akan menerima bantuan sebanyak RM150 seorang dengan agihan dilaksanakan mulai 28 Jun hingga 27 Julai ini menerusi 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) di seluruh negara.
"KPM meneruskan pelaksanaan agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid Tingkatan 6 baharu yang telah mendaftar pada 8 Jun 2026, selaras dengan kelulusan peluasan pemberian BAP kepada murid Tingkatan 6 pada tahun 2025," menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan, secara keseluruhan seramai 96,013 pelajar Tingkatan 6 merangkumi pelajar baharu dan sedia ada telah dan akan menerima BAP pada tahun 2026 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM14,401,950.
Menurut kementerian itu, peluasan pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan 6 yang bermula tahun lalu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa serta penjaga bagi membuat persediaan keperluan persekolahan.
Tambah kenyataan itu, inisiatif berkenaan turut membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasakan pendidikan Tingkatan 6 sebagai antara laluan pendidikan prauniversiti negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

